Sinar Harian
MELAKA - Tindakan seorang lelaki warga Pakistan membuang sisa pepejal di kawasan tidak dibenarkan membawa padah apabila didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Rabu.Tertuduh, Shah Sardar, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal isi rumah di tanah hak milik No GRN 61453 mukim Batu Berendam, Melaka Tengah sekitar jam 10 pagi pada 27 Februari 2024.Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 71(8) akta sama.Berdasarkan fakta kes, perbuatan tertuduh dikesan selepas pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menerima rakaman video aduan awam pada 1 Mac 2024 yang menunjukkan aktiviti pembuangan sampah haram di lokasi berkenaan.Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat longgokan sisa pepejal termasuk katil dan tilam lama.Satu operasi penguatkuasaan kemudiannya dijalankan dan sebuah lori jenis Nissan Vanette disita bagi tujuan siasatan.Siasatan lanjut mendapati tertuduh yang bekerja dengan sebuah syarikat perniagaan perabot telah melonggokkan sisa tersebut, yang diperoleh dari sebuah premis kedai di Taman Ozana Residence.Semakan turut mendapati lokasi kejadian bukan kawasan yang diwartakan sebagai tapak pelupusan, sebaliknya merupakan tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan berada di kawasan larangan serta laluan awam.Tertuduh diwakili peguam, Cassian Anthony dalam rayuannya merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja, selain perlu menanggung isteri dan seorang anak di Pakistan.Menurutnya, tertuduh juga telah memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa dan mengakui kesilapannya.Bagaimanapun, pihak pendakwaan, Abd Hadi Abd Wahad dalam hujahannya berkata, sebagai warga asing yang telah lama menetap di negara ini, tertuduh sepatutnya mengetahui undang-undang berkaitan pelupusan sisa pepejal.Pendakwaan turut menegaskan bahawa kerajaan telah membelanjakan kos tinggi dalam menangani isu pembuangan sampah haram dan meminta hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran.Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar tersebut.
Go to News Site