Sinar Harian
SHAH ALAM - Pas wajar mempertimbangkan menerima Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai sebahagian daripada kekuatan dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.Penyelaras Reset Wilayah Persekutuan, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, cadangan itu berasaskan beberapa pertimbangan utama.Menurutnya, penyertaan tokoh berpengaruh seperti Hamzah berpotensi memperkukuh blok pembangkang dengan menarik sokongan lebih luas merentasi kaum dan latar belakang masyarakat."Beliau mempunyai pengaruh yang besar bukan sahaja dalam parti sendiri, malah turut dihormati oleh pelbagai pihak dalam landskap politik negara."Keupayaan beliau menjadi penghubung antara parti-parti yang menginginkan perpaduan dan penyatuan ummah amat penting dalam memastikan kestabilan politik yang inklusif," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Bekas Ketua Bahagian Bersatu Lembah Pantai berkata, pengalaman luas Ahli Parlimen Larut sebagai Ketua Pembangkang dan bekas menteri memberikan kelebihan dalam menyumbang idea, kepimpinan dan dinamika baharu dalam menghadapi cabaran ekonomi serta isu perpecahan dalam negara.Tambah beliau, langkah tersebut wajar dilihat sebagai strategi ke hadapan dalam memperkukuh kedudukan PN sebagai alternatif yang diyakini rakyat."Walau apapun kenyataan saya, pasti pentaksub kerajaan dan pentaksub yang tidak suka Hamzah akan membantah perkara ini, tapi hakikatnya Tun Dr Mahathir Mohamed pun inginkan beliau menerajui tugas berat menjadi jambatan kepada payung besar bangsa Melayu dan rakyat negara ini tercapai."Ditambah pula dengan kebarangkalian PRU16 yang dijangka akan berlaku dalam keadaan mengejut, kemasukan segera Hamzah akan kembali memperkukuhkan PN," katanya lagi.Sinar Harian melaporkan pengunduran beliau belum menutup peranannya dalam PN sebaliknya membuka satu kemungkinan luar jangka.Senario ‘Hamzah ganti Hamzah’ dilihat bukan mustahil, sebaliknya mencerminkan sifat politik semasa yang semakin pragmatik, yang mana kedudukan tidak lagi ditentukan semata-mata oleh parti, tetapi kemampuan menyesuaikan diri dengan realiti kuasa.Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Hamzah bukan lagi penyandang jawatan tersebut pada Ahad lalu.Februari lalu, Hamzah yang ketika itu Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama 16 lagi pemimpin parti dipecat susulan melanggar Perlembagaan Bersatu.
Go to News Site