Sinar Harian
SHAH ALAM – MGB Berhad (MGB) meraih satu lagi kontrak utama di Arab Saudi apabila anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, MGB International For Industry (MGBI), menerima surat anugerah daripada Kumpulan Syarikat ROSHN bagi projek Marafy Al Arous di Jeddah.MGB dalam satu kenyataan memaklumkan, kontrak tersebut melibatkan kerja-kerja pembinaan dan kejuruteraan bernilai kira-kira SAR32.98 juta (RM34.76 juta).Menurut kenyataan itu, skop kerja merangkumi penyiapan struktur atas bagi 75 unit vila termasuk kerja penyediaan tapak, kerja sementara, substruktur dan superstruktur."Projek ini dijangka bermula pada April 2026 dan siap dalam tempoh lapan bulan,"katanya.Tambah kenyataan itu, penganugerahan berkenaan mencerminkan hubungan yang semakin kukuh antara MGB dan Kumpulan Syarikat ROSHN, pemaju hartanah nasional Arab Saudi serta penyumbang utama kepada Visi 2030 negara itu.Kumpulan Syarikat ROSHN merupakan entiti milik penuh Dana Pelaburan Awam (PIF), salah satu dana kekayaan berdaulat terbesar dunia dengan aset melebihi AS$700 bilion.Penganugerahan ini menandakan projek kedua MGB di Arab Saudi sebagai kontraktor utama, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran kumpulan dalam sektor pembinaan di negara tersebut.Sebelum ini, MGB memperoleh kontrak utama pertamanya di Arab Saudi pada November 2025 daripada Beetah Real Estate Company bagi kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) di Al Madinah Al Munawwarah, Madinah, bernilai kira-kira SAR400 juta (RM444 juta).Jumlah keseluruhan nilai kontrak yang diperoleh MGB di Arab Saudi setakat ini adalah sebanyak SAR613.3 juta.Sementara itu, kehadiran MGB di Arab Saudi adalah berasaskan strategi jangka panjang selaras dengan perkembangan sektor pembinaan dan perumahan negara tersebut di bawah Visi 2030.Pada 2023, MGB menyertai usaha sama bagi mengendalikan kilang pembuatan konkrit pratuang IBS di Jeddah sebelum memperkukuh kehadiran sebagai subkontraktor bagi kerja pemasangan konkrit pratuang IBS bagi pembangunan kediaman antara 2024 hingga 2025.Pendekatan itu membolehkan MGB beralih kepada peranan sebagai kontraktor utama di samping membina kerjasama tempatan serta membangunkan bakat serantau.Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, pihaknya menghargai kepercayaan diberikan oleh Kumpulan Syarikat ROSHN dan komited menyiapkan projek dengan standard kualiti, kecekapan serta profesionalisme tinggi."Penganugerahan ini mengukuhkan lagi rekod pencapaian MGB di Timur Tengah dan memperkukuh visi kumpulan untuk menjadi peneraju serantau dalam pembinaan berindustri serta pelaksanaan projek pembangunan perumahan berskala besar," katanya.Beliau berkata, meskipun terdapat ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah, operasi perniagaan dan pembangunan di bandar utama Arab Saudi seperti Riyadh, Jeddah dan Madinah kekal stabil serta berkembang seperti dirancang."Kami kekal yakin terhadap peluang jangka panjang di Arab Saudi dan komited untuk terus memperkukuh kehadiran bagi menyokong agenda pembangunan kerajaan," katanya.
Go to News Site