Sinar Harian
TAWAU - Tiga penjawat awam termasuk dua pegawai di sebuah agensi penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki meminta suapan kira-kira RM500,000.Ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 40 hingga 50-an itu diperintah reman selama tujuh hari sehingga 22 April selepas permohonan dibuat SPRM kepada Majistret Don Stiwan Malanjum di Mahkamah Majistret Tawau, di sini pada Rabu.Menurut sumber, penjawat awam tersebut yang bertugas di salah sebuah daerah di negeri ini disyaki meminta dan menerima wang rasuah itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas lori-lori milik syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987."Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2024 dan telah menerima rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing."Ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada dua pegawai dan seorang anggota penguat kuasa turut dipercayai telah menerima wang rasuah secara bulanan bernilai kira-kira RM500 hingga RM30,000 seorang daripada beberapa buah syarikat kenderaan berat," katanya.Sehubungan itu, sumber berkata, kesemua mereka ditahan antara jam 4 dan 5 petang Selasa, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Tawau.Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Go to News Site