Sinar Harian
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memantau pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor awam Persekutuan.Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, termasuk arahan supaya keberadaan penjawat awam disahkan sepanjang tempoh pelaksanaan BDR."Bagaimanapun, penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat khususnya urusan di kaunter terus beroperasi seperti biasa," katanya pada taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kerajaan turut mengulangi saranan kepada sektor swasta untuk mempertimbangkan pelaksanaan BDR bagi fungsi atau bahagian yang bersesuaian.Pelaksanaan dasar BDR bagi sektor perkhidmatan awam Persekutuan di seluruh negara bermula hari ini melibatkan kira-kira 200,000 penjawat awam sebagai langkah kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.Dasar itu meliputi penjawat awam Persekutuan di Putrajaya, Kuala Lumpur, serta semua ibu negeri, khususnya bagi mereka yang tinggal melebihi lapan kilometer dari tempat kerja.Bagaimanapun, pelaksanaan itu tidak terpakai kepada petugas sektor keselamatan dan pertahanan, kesihatan dan pendidikan.Pelaksanaan BDR ditetapkan mengikut negeri dan hari kelepasan mingguan (KHM). Bagi negeri dengan HKM pada Ahad, BDR dilaksanakan dari Selasa hingga Khamis, manakala bagi negeri HKM pada Jumaat, melaksanakan BDR dari Isnin hingga Rabu. - Bernama
Go to News Site