Sinar Harian
PUTRAJAYA- Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan berhasrat untuk memperluas penguasaan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang, termasuk menyasarkan Putrajaya sebagai antara kawasan utama.Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya turut 'mengintai' dua lagi kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan iaitu Labuan dan Titiwangsa."Insya-ALLAH, Amanah merancang untuk bertanding sekurang-kurangnya tiga hingga empat kerusi Parlimen bergantung kepada bentuk pertandingan yang akan berlaku kelak," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), di sini pada Rabu.Mengulas lanjut, Khalid menjelaskan sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru, Amanah menyasarkan untuk bertanding di lebih banyak kerusi berbanding PRU-15."Kalau kita bertanding atas nama PH (Pakatan Harapan) dan ia merupakan pertandingan tiga penjuru, maka kita harapkan bahawa Amanah akan dapat bertanding di paling kurang tiga ataupun empat kursi Parlimen," katanya.Dalam masa sama, Khalid memberi isyarat awal kepada gabungan politik PH mengenai agihan kerusi bagi menghadapi PRU-16."DAP sudah banyak kerusi (Parlimen), PKR pun sudah banyak, maka kita harap bahawa rakan-rakan di PH akan memberikan laluan untuk Amanah bertanding di Putrajaya dan juga di Labuan dan Titiwangsa," katanya.Pada PRU yang lalu, bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin (PN) memecah dominasi empat penggal atau 18 tahun calon BN, Tengku Adnan Tengku Mansor apabila memenangi kerusi P125 Putrajaya dengan majoriti 2,310 undi.Di Labuan pula, calon PN Datuk Suhaili Abd Rahman menang dengan majoriti tipis 708 undi menewaskan calon BN, Datuk Bashir Alias dengan 7,416 undi.Sementara, calon BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berjaya merampas kembali kerusi Titiwangsa selepas meraih 25,042 undi dengan majoriti 4,632 undi.Khalid yang juga pencabarnya, tewas dengan meraih sebanyak 20,410 undi berbanding Johari.Mengulas mengenai pemilihan Putrajaya, sebagai antara sasaran utama, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah berpandangan kawasan itu mempunyai keunikan tersendiri dari segi komposisi pengundi."Putrajaya merupakan kerusi Parlimen yang jumlah pengundi di antara paling kecil dan ia terdiri daripada pegawai kerajaan yang dapat menilai prestasi kerajaan dengan lebih jelas, lebih baik," katanya.Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa prestasi Kerajaan Perpaduan mampu diterjemahkan kepada sokongan pengundi, khususnya dalam kalangan penjawat awam."Kita merasa yakin bahawa prestasi kerajaan kalau dilihat dari kaca mata pegawai kerajaan ia merupakan satu prestasi yang sangat memberangsangkan," jelas Khalid.Diasak mengenai senarai calon bagi ketiga- tiga Parlimen, beliau berkata Amanah telah mempunyai senarai pendek calon namun keputusan muktamad akan dibuat kemudian."Kita tidak mahu umum lagi... Akan putuskan bila tiba masanya," katanya.Beliau turut mengingatkan jentera parti supaya terus bekerja dan memperkenalkan parti kepada masyarakat tanpa menunggu pengumuman calon."Kita tak nak keadaan di mana sudah tahu siapa calon baru nak buat kerja, itu bukan disiplin parti yang kita inginkan dalam parti Amanah," katanya.Tambah beliau, parti itu turut menyasarkan kira-kira 40 kerusi di seluruh negara sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh kedudukan dalam PRU16."Kita sudah punya target lebih kurang dalam 40 kerusi dan insya-ALLAH itu pun kita akan usahakan," katanya.Menyentuh mengenai jangkaan tarikh PRU16, Khalid berpandangan PRU-16 tidak akan diadakan dalam masa terdekat berikutan situasi semasa global yang terkesan dengan konflik geopolitik Asia Barat."Ini merupakan masa yang paling sukar untuk mana-mana kerajaan mengadakan pilihan raya."Saya yakin pilihan raya akan hanya diadakan pada tahun depan bila dah cukup tempoh ataupun hampir-hampir cukup tempoh," ujar Khalid.
Go to News Site