Sinar Harian
KUANTAN - Tujuh warga Indonesia yang dikesan mengusahakan kebun sayur berhampiran Kampung Lurau Hulu Chemperoh, Kampung Janda Baik, Bentong ditahan dalam Ops Taring Delta Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Selasa lalu.Briged Tenggara PGA melalui kenyataan di Facebooknya berkata, dalam serbuan ke atas sebuah rumah kongsi itu, pihaknya berjaya menahan warga asing terbabit terdiri tiga lelaki dan empat wanita berusia 29 hingga 64 tahun.Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, dua individu yang ditahan itu memasuki negara ini menggunakan pas pelawat namun telah tamat tempoh."Lima lagi dipercayai masuk secara haram melalui jalan laut di Muar, Johor tanpa sebarang dokumen perjalanan diri yang sah."Kesemua mereka dipercayai mengusahakan sendiri kebun sayur di sekitar kawasan tersebut sebelum menjual hasil tanaman kepada penduduk serta pemborong tempatan," katanya.Melalui kenyataan itu, Briged Tenggara berkata, operasi tersebut dijalankan hasil maklumat risikan berkaitan penempatan pendatang tanpa izin di kawasan berkenaan.Katanya, semua tangkapan serta rampasan dua pasport Indonesia diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk tindakan lanjut."Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63."Rondaan, risikan dan operasi berterusan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti pendatang asing tanpa izin di kawasan berkenaan," katanya.
Go to News Site