Sinar Harian
KOTA KINABALU - Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menuntut penjelasan penuh daripada kerajaan Persekutuan berhubung kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik, yang kini disahkan berada dalam wilayah Indonesia.Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, penjelasan itu harus diberikan secara telus dan terperinci kepada rakyat khususnya di Sabah.Katanya, rakyat Sabah gusar dan mempersoalkan perkembangan berkaitan pelarasan sempadan yang mana menerusi kenyataan media yang tular, Ketua Pejabat Staf Presiden Indonesia, Muhammad Qodari, memaklumkan bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik, Sabah, kini secara rasmi disahkan sebagai milik Indonesia selepas proses penetapan sempadan darat antara kedua-dua negara dimuktamadkan."Beliau berkata, penyelesaian tersebut merupakan hasil diplomasi damai antara Indonesia dan Malaysia yang telah dipersetujui bersama, sekali gus memperjelaskan garis sempadan rasmi di kawasan berkenaan serta mengukuhkan kedaulatan wilayah Indonesia."Isu ini bukan sekadar perkara teknikal, tetapi menyentuh secara langsung soal kedaulatan negara, kepentingan Sabah serta hak rakyat tempatan yang tidak boleh dipandang ringan."Lebih membimbangkan, dalam pelarasan tersebut, Malaysia dilaporkan hanya menerima sekitar 4.9 hektar kawasan sebagai pertukaran. Perbezaan keluasan yang ketara ini bukan sahaja menimbulkan persoalan, malah mencetuskan kebimbangan terhadap keseimbangan hasil rundingan yang dicapai," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Katanya, situasi itu juga menimbulkan persoalan lebih besar berkaitan ketelusan proses rundingan, kedudukan kepentingan negara dalam perbincangan dua hala, serta tahap perlindungan terhadap hak wilayah Malaysia, khususnya di Sabah."Sehubungan itu, saya menggesa erajaan Persekutuan agar memberikan penjelasan penuh, telus dan terperinci kepada rakyat."Menjelaskan asas serta justifikasi rundingan yang membawa kepada keputusan ini dan mendedahkan garis sempadan baharu yang telah dipersetujui. Selain itu, memperincikan penglibatan kerajaan Sabah dalam proses tersebut; dan menyatakan implikasi sebenar terhadap kedaulatan, keselamatan serta pentadbiran wilayah negara," katanya.Zulkarnain berkata, G57 menegaskan bahawa sebarang rundingan melibatkan sempadan negara mesti dilaksanakan dengan penuh ketelitian, ketegasan serta keutamaan terhadap kepentingan nasional, dan bukannya sekadar mencapai penyelesaian tanpa mengambil kira keseimbangan hasil kepada kedua-dua pihak."Dalam konteks ini, suara rakyat Sabah tidak boleh diketepikan.Negeri ini mempunyai kedudukan strategik dari segi geopolitik, keselamatan dan ekonomi, justeru setiap keputusan yang melibatkan wilayahnya perlu dibuat secara berhati-hati dan inklusif."Kegagalan memberikan penjelasan yang jelas hanya akan membuka ruang kepada spekulasi serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara," katanya.Tegasnya lagi, rakyat Sabah berhak mengetahui fakta sebenar, dan kerajaan wajib menjawab dengan jujur serta bertanggungjawab.
Go to News Site