Sinar Harian
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan ditahan dipercayai memelihara 16 ekor burung murai batu tanpa lesen sah di rumahnya di Serene Park, di sini pada Selasa.Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) menerusi kenyataan memaklumkan, lelaki berusia 60 tahun itu ditahan dalam Op Bersepadu Khazanah yang dijalankan bersama Jabatan Perhilitan Johor.Menurut kenyataan itu, serbuan hasil risikan dijalankan kira-kira jam 7 malam di sebuah premis kediaman di kawasan berkenaan."Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 16 ekor burung murai batu yang merupakan spesies hidupan liar dilindungi sepenuhnya disimpan di premis tersebut."Suspek bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang lesen sah bagi tujuan pemilikan, penyimpanan atau pemeliharaan hidupan liar berkenaan," katanya pada Selasa.Tambah kenyataan itu, pihak berkuasa turut merampas 16 unit sangkar burung pelbagai jenis, sebuah telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan."Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM295,106."Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya.Menurutnya, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu pihak Perhilitan Johor melengkapkan siasatanDalam pada itu, PDRM menegaskan komitmen berterusan dalam mempergiatkan operasi bersepadu bersama agensi berkaitan bagi membanteras jenayah melibatkan hidupan liar serta memelihara khazanah negara.
Go to News Site