Sinar Harian
SHAH ALAM - Universiti Malaya (UM) memohon maaf susulan isu adegan ranjang dalam sebuah persembahan teater yang tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.UM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius perkara berkenaan serta mengambil maklum segala kebimbangan dibangkitkan."Berdasarkan syarat umum dan peraturan pertandingan Karnival Teater (Karviter) universiti, setiap persembahan perlu bebas daripada unsur negatif, provokasi atau kandungan boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya serta nama baik universiti."Hasil penelitian mendapati adegan dipertontonkan tidak selaras dengan skrip asal telah melalui proses tapisan dan jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan ditetapkan," katanya pada Khamis.Sebelum ini, tular video persembahan teater memaparkan seorang lelaki dan wanita melakonkan babak intim di atas pentas hingga mendapat kecaman ramai.Kejadian terbabit menarik perhatian pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang mempersoalkan kewajaran babak sentuh-menyentuh dan adegan di ranjang dalam sebuah teater di salah sebuah universiti terkemuka Malaysia.Justeru, UM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran garis panduan program atau peraturan telah ditetapkan."Persembahan berkenaan diputuskan sebagai tidak layak untuk dinilai, manakala tindakan susulan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pemantauan supaya insiden sama tidak berulang pada masa hadapan," tambah UM.Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bahagian Komunikasi Korporat UM melalui emel corporate@um.edu.my.
Go to News Site