Collector
PRU16: PKR Temerloh sangkal 'kerusi tradisi' Amanah | Collector
PRU16: PKR Temerloh sangkal 'kerusi tradisi' Amanah
Sinar Harian

PRU16: PKR Temerloh sangkal 'kerusi tradisi' Amanah

KUANTAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Temerloh menyangkal dakwaan Parti Amanah Negara (Amanah) bahawa Parlimen Temerloh adalah kerusi tradisi parti itu, sebaliknya menegaskan kawasan tersebut milik PKR.Ketua Peneranganya, Abdullah Hakim Ahmad berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah tidak selari dengan realiti sejarah politik di Temerloh.Tegasnya, PKR sudah lama bertanding di kerusi Parlimen Temerloh sejak awal penubuhan parti dan mempunyai hubungan yang lebih dekat dengan kawasan itu."Secara logiknya usia Parti Amanah yang masih muda tidak munasabah menjadikan tuntutan sebagai 'kerusi tradisi'."Sebaliknya, PKR mempunyai nilai sentimental yang jauh lebih dekat dengan Temerloh kerana PKR Pahang sendiri telah ditubuhkan dan dirasmikan di kawasan ini," katanya pada Khamis.Terdahulu,Ketua Amanah Pahang, Mohd Fadzli Ramly dilapor berkata, parti itu tetap mahu meletakkan calon untuk kekal bertanding di Parlimen Temerloh bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).Menurutnya, kawasan itu merupakan kerusi tradisi Amanah dan parti itu pernah memenanginya pada PRU14, sebelum tewas kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.Mengulas lanjut, Abdullah berkata, sejarah perjuangan PKR di Temerloh membuktikan bahawa akar umbi parti itu telah lama bertapak dan berkembang kukuh di kawasan tersebut.Jelasnya, pada PRU14, PKR Cabang Temerloh dengan semangat setia kawan telah memberi sokongan penuh kepada Amanah untuk bertanding di kerusi Temerloh.Katanya, sokongan tersebut membuahkan hasil apabila Amanah berjaya meraih kemenangan pada ketika itu."Semangat setia kawan ini menjadi bukti komitmen PKR terhadap gabungan PH dan kesediaan untuk berkorban demi kejayaan bersama."Namun, pada PRU15, Amanah sekali lagi diberi peluang untuk mempertahankan kerusi tersebut, namun tewas kepada pihak lawan. Jadi kekalahan ini membuka ruang untuk menilai semula status kerusi Temerloh," jelas beliau lagi.Sehubungan itu, beliau berpandangan adalah wajar peluang diberikan kepada PKR untuk bertanding di kerusi Parlimen Temerloh pada PRU16 akan datang.Menurutnya, sebagai parti yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR wajar diberi peluang bertanding di lebih banyak kerusi bagi memastikan kesinambungan kepimpinan negara."PKR Cabang Temerloh mempunyai keahlian hampir 6,000 orang dan 30 ranting aktif, sekali gus menunjukkan kekuatan jentera parti di kawasan tersebut."Kekuatan itu membolehkan PKR menggalas tanggungjawab untuk merampas kembali kerusi Temerloh bagi PH. Keutamaan kami adalah memastikan rakyat Temerloh mendapat pembelaan dan suara yang kuat di Parlimen," katanya.

Go to News Site