Sinar Harian
KUALA TERENGGANU – Kehadiran kepimpinan UMNO ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Terengganu di sini pada Khamis mencuri tumpuan sekali gus membuktikan kematangan politik dalam mengekalkan hubungan baik antara dua parti tersebut.Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof menyifatkan perbezaan fahaman politik sebagai perkara kedua, sebaliknya semangat persaudaraan perlu diutamakan.Mewakili saf kepimpinan tertinggi negeri, beliau hadir membawa amanat Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat dan Timbalannya, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku yang kini berada di Melaka."Kehadiran saya adalah untuk menyahut seruan pimpinan agar kita terus mempertautkan hubungan sesama kita. Walaupun landasan politik kita tidak sama, ukhuwah perlu sentiasa dijaga."Aidilfitri adalah waktu paling sesuai untuk kita saling menghormati dan mengetepikan seketika perbezaan demi keharmonian bersama," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putra bersama barisan kepimpinan bahagian dan bekas calon pilihan raya parti itu.Dalam pada itu, Muhamad Pehimi turut menzahirkan rasa syukur atas jemputan tersebut dan berharap agar hubungan baik itu terus berpanjangan."Terima kasih atas kesudian Pas menjemput kami. Kita doakan agar majlis seperti ini menjadi asbab untuk kita terus hidup dalam suasana yang harmoni dan diberkati ALLAH SWT," jelasnya.Suasana harmoni antara kedua-dua pihak itu memberikan isyarat jelas bahawa politik Terengganu tetap berpaksikan kematangan di sebalik persaingan kerusi dan kuasa.Difahamkan, majlis berlangsung meriah itu dihadiri lebih 100,000 tetamu dari seluruh negeri.
Go to News Site