Collector
Penurunan kuasa: Projek air tertangguh sejak 10 tahun lalu kini diambil alih Sabah-TPM | Collector
Penurunan kuasa: Projek air tertangguh sejak 10 tahun lalu kini diambil alih Sabah-TPM
Sinar Harian

Penurunan kuasa: Projek air tertangguh sejak 10 tahun lalu kini diambil alih Sabah-TPM

KOTA KINABALU – Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB), termasuk yang tertangguh sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), kini diserahkan terus kepada Sabah melalui penurunan kuasa daripada kerajaan Persekutuan.Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu melibatkan peruntukan RM4.06 bilion yang sebelum ini berdepan pelbagai kekangan sehingga pelaksanaannya tidak dapat diteruskan.Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas lawatan Perdana Menteri ke Sabah dan Sarawak bagi melihat sendiri perkembangan projek yang telah diluluskan tetapi masih belum berjalan seperti dirancang.Beliau berkata, antara isu yang dikenal pasti termasuk urusan kebenaran merancang, perubahan jajaran, spesifikasi mengikut keadaan lokasi serta proses pelantikan jururunding dan kontraktor yang lebih sesuai diselesaikan di peringkat negeri."Ertinya, telah 10 tahun projek-projek itu tidak dapat dijalankan kerana beberapa kekangan, terutamanya dari segi kebenaran merancang, jajaran baharu, spesifikasi mengikut lokasi, kekangan pelantikan jururunding dan kontraktor, serta beberapa permasalahan yang hanya boleh diselesaikan oleh pihak berkuasa tempatan negeri Sabah serta pejabat tanah dan daerah."Hasilnya, terdapat RM4.06 bilion projek bekalan air luar bandar yang diserahkan kepada kerajaan negeri Sabah, termasuk projek yang tidak dilaksanakan sejak RMK-11 pada tahun 2016," katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bagi Negeri Sabah di bangunan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Sembulan pada Khamis.Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan projek kini akan dikendalikan oleh kerajaan negeri menerusi KPLB Sabah dengan penglibatan agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).Bagi memastikan projek berjalan lancar, sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi turut ditubuhkan dan dijangka mula bermesyuarat dalam masa terdekat bagi memantau perkembangan serta memastikan setiap projek mengikut jadual.Dalam masa sama, pendekatan nyahpusat dilihat mampu mempercepatkan pelaksanaan tanpa terlalu bergantung kepada proses di peringkat Persekutuan."Peraturan sedia ada mengikut arahan perbendaharaan akan kita ikuti, tetapi kita desentralisasikan di peringkat negeri agar tidak berlaku keadaan ‘rumah berpindah, tetapi alat masih alat rumah yang lama’."Maksud saya di sini ialah agar pemindahan dan penurunan kuasa ini dapat dilaksanakan bagi mempercepatkan pelaksanaannya demi faedah rakyat di negeri Sabah keseluruhannya," katanya.Beliau turut memaklumkan sebanyak 83 projek terlibat, termasuk projek baharu dan projek lama yang tidak dilaksanakan, dengan sebahagiannya masih di peringkat awal."Ia bukan projek ‘sakit’, tetapi tidak dilaksanakan sejak 2016. Terdapat 37 projek di peringkat prapelaksanaan," jelasnya.Pada masa sama, isu kos tenaga susulan krisis tenaga global turut diambil kira dan beliau memaklumkan ia akan diselaraskan di peringkat nasional bagi memastikan pelaksanaannya tidak terjejas.

Go to News Site