Collector
Kemuka invois palsu, tiga syarikat pembungkusan minyak masak didenda RM264,000 | Collector
Kemuka invois palsu, tiga syarikat pembungkusan minyak masak didenda RM264,000
Sinar Harian

Kemuka invois palsu, tiga syarikat pembungkusan minyak masak didenda RM264,000

IPOH – Tiga syarikat pembungkusan minyak masak masing-masing didenda RM88,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengemukakan maklumat palsu berkaitan invois minyak masak, dua tahun lalu.Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Usaha Prasarana Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Ooi Yien Wei, 29; Arcadia Odyssey Sdn Bhd diwakili pengarah, Kan Shy Ling, 32; serta Aksi Sentral Sdn Bhd yang diwakili pengarah, Kan Cheng Hui, 31.Kesemua syarikat itu mengaku bersalah atas lapan pertuduhan masing-masing yang dibacakan secara berasingan di hadapan mahkamah.Mengikut pertuduhan, syarikat terbabit sebagai pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak didapati dengan pengetahuan telah memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat dalam borang Arahan Mengemukakan Maklumat di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.Kesalahan itu dilakukan di premis masing-masing di Lapangan Setia, Pusat Perniagaan Lang Indah dan Pusat Perdagangan Jelapang di Ipoh dalam daerah Kinta antara jam 11.45 pagi hingga 4.30 petang pada 9 Ogos 2024.Bagi kesalahan itu, syarikat didakwa di bawah Subseksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(2) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM5 juta kesalahan kali kedua.Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Nazreen Zabarudin bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Muhamad Hanif Abd Azis, manakala ketiga-tiga syarikat diwakili Peguam Mohd Khairul Fairuz.Pihak pendakwaan menawarkan denda RM11,000 bagi setiap pertuduhan mengambil kira kepentingan awam kerana berkait dengan penyelewengan barang kawalan.Semasa rayuan, Mohd Khairul memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama selain pengakuan bersalah dibuat telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.Beliau turut memohon agar semua barangan rampasan termasuk mesin dan peralatan pembungkusan dipulangkan semula kepada syarikat.Mahkamah kemudiannya menetapkan denda RM11,000 bagi setiap pertuduhan dengan denda keseluruhan RM264,000.Mahkamah turut memerintahkan semua wang hasil jualan rampasan minyak masak berjumlah RM101,807.30 dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia dan membenarkan barangan rampasan kecuali dokumen diserahkan semula kepada syarikat terbabit.Berdasarkan fakta kes, pada 9 Ogos 2024, sepasukan anggota dari Bahagian Penguat kuasa KPDN Negeri Perak telah membuat pemeriksaan Op Tiris melibatkan barang kawalan bersubsidi iaitu minyak masak di ketiga-tiga premis.Ketika pemeriksaan, syarikat telah gagal menyelenggara buku stok barang kawalan bagi minyak masak dan siasatan kemudiannya mendapati, invois-invois berhubung transaksi penjualan minyak masak adalah palsu kerana transaksi sebenar tidak berlaku.Sehubungan itu, sebanyak 51,507.15 kilogram minyak masak berjumlah RM101,807.30 telah disita dan diambil tindakan.

Go to News Site