Collector
B100 diperluas untuk kenderaan, jentera pertanian Felda | Collector
B100 diperluas untuk kenderaan, jentera pertanian Felda
Sinar Harian

B100 diperluas untuk kenderaan, jentera pertanian Felda

KUANTAN - Felda memulakan penggunaan biodiesel sawit tulen (B100) dalam keseluruhan ekosistemnya sebagai langkah awal membuktikan keupayaan bahan api itu.Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, selain kenderaan, penggunaan bahan api alternatif itu juga akan digunakan untuk mesin dan jentera perladangan lain.Menurutnya, perbincangan mengenai peluasan penggunaan B100 kepada jentera di rancangan Felda telah diadakan minggu lalu."Kuantan berkemungkinan menjadi lokasi permulaan seawal bulan ini memandangkan B100 itu diproses di kilang FGV di Kuantan."Proses logistiknya menjadi lebih cekap di sini sebelum pengedaran bekalan B100 diperluaskan ke seluruh negara," katanya ketika ditemui selepas Sesi Taklimat dan Penerangan Projek Perintis Pelaksanaan Biodiesel B100 di sini pada Khamis.Ahmad Shabery berkata, pada masa sama, beberapa perkara berkaitan turut diteliti termasuk proses penghantaran bekalan, keperluan kepada tangki dan kaedah penyimpanan serta pelesenan susulan pelaksanaan penggunaan biodiesel di ekosistem Felda itu.Sementara itu beliau berkata, pengunaan B100 secara menyeluruh di seluruh negara tertakluk kepada keputusan dan dasar kerajaan pada masa akan datang."Sebab itu kita mulakan penggunaannya dalam ekosistem Felda dahulu kerana B100 masih belum tersedia secara komersial."Bagaimanapun kita mula dari awal untuk membina keyakinan orang ramai dan menjadikannya sebagai alternatif yang berdaya maju serta mampan," katanya.Tambah beliau, beberapa kenderaan agensi itu termasuk jentera penggerak utama sudah diuji di pelbagai medan menggunakan B100 dengan jarak tempoh sejauh 50,000 kilometer tanpa masalah besar."Penggunaan bahan api B100 ini juga akan memberi manfaat langsung kepada petani, pekebun kecil dan peneroka Felda."Peningkatan penggunaan minyak kelapa sawit membantu meningkatkan harga komoditi itu sekaligus dapat memperbaiki taraf hidup mereka," katanya.Tambahnya, B100 juga akan memberi manfaat kepada pengguna yang tidak mendapat subsidi termasuk komuniti nelayan, khususnya nelayan Zon C2 dan pengendali pengangkutan.Mengulas tentang jangkaan pengkomersialan B100, Ahmad Shabery berkata, ia memerlukan masa kerana peningkatan kapasiti pengeluaran juga memerlukan lebih banyak kilang pemprosesan untuk menukar minyak sawit mentah (CPO) kepada biodiesel."Kemudahan sedia ada hanya mampu menampung sekitar 100,000 hingga 180,000 tan dan kita masih di peringkat awal."Pengembangan kapasiti ini akan mengambil masa kerana mereka bentuk dan membina kilang baharu memerlukan pelaburan serta pembangunan yang besar," katanya.Ahmad Shabery dalam kenyataannya sebelum ini berkata, penggunaan B100 berpotensi menjadi alternatif berdaya saing kepada diesel konvensional dalam menangani kos bahan api serta isu keselamatan tenaga negara.Katanya, B100 sebelum ini dilihat hanya dari sudut kelestarian kerana sifatnya yang lebih bersih dan boleh diperbaharui, namun kekangan kos tinggi menjadi penghalang utama pelaksanaannya.Namun dalam situasi krisis global hari ini, B100 dilihat sebagai satu jawapan baharu kerana kosnya kini lebih kompetitif berbanding diesel dalam pasaran ketika ini.

Go to News Site