Sinar Harian
ALOR GAJAH - Polis sedang mengesan seorang pemandu bas ekspres dipercayai memandu dalam keadaan berbahaya seperti yang tular di media sosial pada Khamis.Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, rakaman video berkenaan memaparkan pemandu terbabit memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang serta hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.Menurutnya, perbuatan tersebut boleh menjejaskan kawalan kenderaan, mengganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain."Hasil siasatan awal mendapati rakaman video berdurasi satu minit 20 saat itu dikesan tular pada Khamis sekitar jam 1.05 tengah hari melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial."Berdasarkan semakan awal, kenderaan yang terlibat dipercayai sebuah bas ekspres milik sebuah syarikat pengendali bas yang sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Katanya,lokasi sebenar kejadian dipercayai di sekitar Kilometer 196.1 arah selatan, namun masih dalam siasatan lanjut.Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Sehubungan itu Ahmad memohon pemandu bas ekspres yang terlibat tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah bagi membantu siasatan."Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pemanduan berbahaya yang tidak bertanggungjawab, khususnya melibatkan kenderaan membawa orang awam. "Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini juga diminta tampil menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Go to News Site