Sinar Harian
KUANTAN – Empat lelaki termasuk warga asing cedera dalam insiden letupan di sebuah kilang besi di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini pada Khamis.Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu melibatkan seorang pekerja tempatan dan tiga warga asing."Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada insiden letupan membabitkan peralatan industri di dalam premis berkenaan."Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menggunakan ambulans syarikat untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Beliau berkata, susulan itu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Gebeng telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.Jelasnya, pihak polis kini sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk pengurusan kilang dan agensi keselamatan serta kesihatan pekerjaan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian."Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan."Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.
Go to News Site