Sinar Harian
KAJANG – Rangkaian kegiatan pembuatan, penyimpanan serta pembungkusan minuman keras palsu sekitar Kajang dan Seremban berjaya ditumpaskan menerusi dua serbuan berasingan dalam Ops Taring Alpha 2 pada Rabu.Serbuan dijalankan Bahagian WCB/PSK, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman sekitar jam 3.30 petang dan 5.45 petang di dua lokasi berbeza di Negeri Sembilan dan Selangor.Komander Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi itu dilaksanakan hasil risikan bersepadu bersama beberapa agensi penguat kuasa.Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis di Kawasan Industri Tuanku Jaafar, Senawang, sebelum pasukan menyerbu lokasi kedua di Beranang, Kajang susulan maklumat yang diperoleh."Dalam serbuan pertama, lima warga asing ditahan membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita warga Nepal serta seorang lelaki warga Myanmar."Pemeriksaan lanjut menemukan 95 kotak minuman keras pelbagai jenama, 18 karton rokok tidak bercukai kastam serta enam kotak minyak masak bersubsidi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Beliau berkata, serbuan kedua pula membawa kepada penahanan dua lagi lelaki warga asing, masing-masing warga Myanmar dan India."Kedua-dua suspek dipercayai sedang melakukan aktiviti pemindahan kotak berisi minuman keras disyaki tiruan ketika serbuan dijalankan."Turut dirampas sebanyak 69 kotak minuman keras pelbagai jenama selain 22 unit mesin dan peralatan pembungkusan yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan produk terbabit," katanya.Mohd Zaki berkata, hasil semakan mendapati semua individu yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta lesen sah berkaitan pembuatan minuman keras.Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM221,514.75."Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957, Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 selain Akta Kawalan Bekalan 1961.Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan Kajang untuk tindakan lanjut," katanya.
Go to News Site