Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Semua wakil dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diminta mengemukakan pendirian parti masing-masing secara bertulis berhubung cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya pada mesyuarat keempat jawatankuasa itu, 27 April depan.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu penting bagi mencari titik pertemuan berkaitan cadangan pindaan itu memandangkan struktur Parlimen tidak boleh dipisahkan daripada pengaruh parti dan pemimpin politik."Saya telah mengarahkan wakil parti dalam jawatankuasa ini mendapatkan pendirian bertulis parti masing-masing... kita perlu tahu pandangan rasmi mereka dalam isu ini sebelum keputusan lanjut dibuat."Sama ada kita mahu ahli politik terlibat atau tidak dalam proses pelantikan, perkara itu akan terus dibincangkan kerana Ahli Parlimen sendiri adalah orang politik," katanya.Azalina, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga jawatankuasa itu di Bangunan Parlimen hari ini.Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang hadir ialah Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, William Leong Jee Keen (Selayang), Datuk Lo Su Fui (Tawau), Syahredzan Johan (Bangi), Roy Angau anak Gingkoi (Lubok Antu), Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar).Azalina berkata, selain pandangan ahli politik, jawatankuasa itu hari ini mendengar pembentangan badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) yang konsisten menuntut agar pelantikan Pendakwa Raya dilakukan secara bebas.Beliau berkata, input daripada pihak NGO dan CSO itu merangkumi aspek pelantikan, penamatan jawatan serta keperluan akauntabiliti badan tersebut kepada Parlimen.Turut mengemukakan pandangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Badan Peguam Malaysia, Jabatan Peguam Negara (AGC), Projek Kestabilan dan Akauntabiliti Malaysia (Projek SAMA), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Pertubuhan Undang-Undang Sabah, Rasuah Busters serta pakar demokrasi berperlembagaan Maha Balakrishnan daripada Universiti Sunway.Menyentuh mengenai mesyuarat pada 27 April depan, Azalina berkata pihaknya akan meneliti pandangan AGC dari sudut undang-undang sebelum draf akhir dimuktamadkan.Beliau berkata, jika proses perbincangan berjalan lancar, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.2) bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibawa ke sidang Parlimen pada Jun ini.Pada 3 Mac lepas, Dewan Rakyat bersetuju rang undang-undang itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, yang dianggotai Azalina serta 11 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang, untuk memberi ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalusi serta menelitinya. - Bernama
Go to News Site