Sinar Harian
PROGRAM pembangunan bola jaring tanah air terus mendapat sambutan apabila Siri Pembukaan Klinik Netball Super League 2026 (NSL) di Perak baru-baru ini mencatat penyertaan memberangsangkan dengan 250 peserta, sekali gus mencerminkan minat tinggi terhadap sukan berkenaan dalam kalangan belia wanita.Program yang berlangsung di Tenby Schools, Ipoh itu bukan sekadar sesi latihan asas, sebaliknya berfungsi sebagai platform pencarian bakat bagi mencungkil pemain berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih kompetitif.Lebih menarik, penyertaan turut hadir dari luar Perak termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, menjadikan program berkenaan sebagai antara medan awal pengumpulan bakat pelbagai negeri di zon utara.Siri di Perak ini merupakan kesinambungan jelajah selepas penganjuran di Johor, dengan pendekatan lebih meluas bagi memperkukuh ekosistem pembangunan bola jaring negara di peringkat akar umbi.Daripada keseluruhan peserta, lima individu terbaik dipilih menyertai Klinik NSL Boot Camp yang akan berlangsung pada 16 dan 17 Mei ini, melibatkan latihan intensif serta pendedahan berprestasi tinggi.Ketua jurulatih Klinik NSL, Nurul Adha Abu Bakar berkata, program musim ini memberi penekanan kepada peningkatan prestasi dan persediaan ke tahap lebih kompetitif, bukan lagi sekadar kemahiran asas."Kami melihat potensi besar dalam kalangan peserta termasuk dari negeri-negeri utara."Modul latihan kini lebih kritikal dan berfokus kepada keperluan permainan kompetitif," katanya.Beliau menambah, pemilihan ke Boot Camp dibuat berdasarkan penilaian jurulatih berpengalaman sebagai usaha merapatkan jurang antara pembangunan akar umbi dan peringkat profesional.Klinik NSL 2026 akan diteruskan di beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaya, selain sekolah terpilih di seluruh negara sebagai usaha memperluaskan pencarian bakat.Penyertaan adalah percuma namun terhad, dengan pendaftaran dibuka kepada belia wanita berusia 15 hingga 24 tahun melalui laman sesawang www.astro.com.my/klinikNSL.
Go to News Site