Collector
Persiapan haji siap 100 peratus | Collector
Persiapan haji siap 100 peratus
Sinar Harian

Persiapan haji siap 100 peratus

SEPANG - Persiapan Tabung Haji (TH) bagi musim haji 1447H/2026M mencapai 100 peratus dengan semua aspek utama telah dirancang dan diselaras dengan teliti menjelang penerbangan pertama pada 18 April ini.Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air, Mohd Norber Kassim berkata, kesiapsiagaan itu merangkumi keseluruhan operasi di tanah air dan Tanah Suci termasuk pengurusan jemaah, logistik, penerbangan serta penugasan petugas."Secara keseluruhannya kita telah bersedia di semua sektor. Saya boleh katakan capai 100 peratus, mungkin ada sedikit pelarasan baharu bergantung kepada perkembangan semasa."Di tanah air melibatkan lapan stesen operasi di mana Sepang stesen utama dan tujuh lagi stesen di seluruh negara," katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan media bagi operasi musim haji pada Rabu.Beliau memaklumkan, penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada jam 4 pagi, Sabtu ini dengan waktu lapor diri bermula 10 malam Jumaat.Menurutnya, seramai 284 jemaah haji akan berlepas menaiki pesawat Malaysia Airlines dan 357 jemaah diterbangkan dengan pesawat Saudia Airlines."Proses bermula sebaik ketibaan jemaah di stesen MHCC (Movenpick Hotel & Convention Centre) Sepang dengan urusan bagasi, semakan dokumen, pemeriksaan keselamatan hingga pelepasan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)."Jemaah akan melalui proses lengkap termasuk kaunter pasport, timbangan bagasi dan mendapatkan pas masuk sebelum berkumpul di dewan berlepas untuk taklimat perjalanan."Mereka kemudiannya akan dibawa ke KLIA melalui laluan khas sebelum menjalani pemeriksaan imigresen Malaysia dan Arab Saudi sebelum berlepas," jelasnya.Mohd Norber berkata, TH telah memberikan bimbingan dan latihan kepada petugas haji termasuk yang berada di Tanah Suci bagi membantu jemaah.Mengulas situasi semasa susulan konflik di Asia Barat, Mohd Norber menjelaskan, TH telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk aspek keselamatan, perlindungan insurans dan kelancaran sepanjang musim haji.KontigensiBeliau berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan urusan ibadah semua jemaah berjalan lancar.Malah menurutnya, TH juga bersiap siaga dengan pelan kontingensi bencana dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan disesuai mengikut keadaan semasa."Pelbagai langkah proaktif telah diambil termasuk mendapatkan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pihak berkuasa Arab Saudi bagi memastikan kelancaran operasi haji."TH juga telah mengambil kira semua senario kemungkinan yang akan berlaku dan ambil langkah sewajarnya," jelasnya.Mengulas lanjut beliau memberitahu, pelan tersebut akan disesuaikan dari masa ke masa mengikut keadaan terkini dengan semua kebajikan jemaah akan dipantau sepenuhnya sepanjang berada di Tanah Suci."TH turut menasihatkan bakal jemaah agar memberi tumpuan kepada persiapan diri terutama dari segi kesihatan dan niat menunaikan ibadah haji, selain mematuhi garis panduan ditetapkan," ujarnya.Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.

Go to News Site