Collector
Bunyi letupan gemparkan ibu pejabat PKNS | Collector
Bunyi letupan gemparkan ibu pejabat PKNS
Sinar Harian

Bunyi letupan gemparkan ibu pejabat PKNS

SHAH ALAM – Bunyi letupan yang memecah suasana petang di Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini pada Khamis mencetuskan suasana panik dalam kalangan kakitangan yang bekerja di bangunan terbabit.Kepulan asap tebal dilihat keluar dari beberapa bahagian bangunan sementara kakitangan pula dilihat bergegas menyelamatkan diri dengan menuruni tangga serta mematuhi arahan kecemasan yang dikeluarkan.Bagaimanapun, situasi mencemaskan itu sebenarnya adalah sebahagian daripada latihan simulasi kebakaran yang dijalankan.Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Syarim A. Malek yang juga Ketua Latihan Simulasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 berkata, latihan seumpama itu penting bagi membezakan antara teori, praktikal dan situasi sebenar."Latihan ini merupakan satu perkara yang penting kerana kita dapat membezakan antara teori, praktikal dan realiti, apabila kita dipenuhi dengan pengetahuan teori dan praktikal, apabila bertindak, kita akan tahu apa yang betul."Konsepnya mudah iaitu betulkan yang biasa dan biasakan yang betul, setiap latihan pasti ada kelemahan yang dapat dikenal pasti dan daripada situ kita lakukan penambahbaikan," katanya ketika ditemui pada latihan berkenaan pada Khamis.Menurutnya, latihan ini melibatkan simulasi kebakaran dan letupan yang bermula dengan bunyi loceng kecemasan sebelum kakitangan diarahkan keluar.Beliau berkata, empat mangsa diwujudkan dalam latihan tersebut dengan dua daripadanya diselamatkan oleh pasukan Emergency Response Team (ERT) PKNS dan dua lagi oleh pihak bomba."Pihak bomba menerima panggilan dan tiba di lokasi dalam tempoh dua minit 13 saat, setibanya di lokasi, tindakan awal dibuat berdasarkan laporan ketua insiden."Seorang mangsa yang tidak dapat turun dari tingkat tinggi diselamatkan menggunakan kaedah 'roping', manakala seorang lagi diselamatkan menggunakan jentera aerial ladder platform dari tingkat empat salah sebuah blok bangunan terlibat," katanya.Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa latihan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pihak PKNS, malah kepada orang awam dalam memahami tindakan yang perlu diambil ketika kecemasan.Sementara itu, Pengurus Besar Sumber Manusia PKNS, Azura Ramli berkata, latihan itu merupakan komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga kerja serta pengunjung."Latihan ini penting untuk memastikan semua warga kerja bersedia menghadapi situasi kecemasan sebenar termasuk memahami laluan keluar, tempat berkumpul serta peranan masing-masing."Kami juga menilai aspek seperti masa pemindahan, tahap pematuhan prosedur, keberkesanan komunikasi serta koordinasi antara pasukan ERT PKNS dan pihak bomba bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan," katanya.Beliau berkata, latihan seumpama ini akan diteruskan secara berkala sebagai usaha memperkukuh tahap kesiapsiagaan selain melindungi nyawa dan aset organisasi."Bagi PKNS, keselamatan bukan sekadar pematuhan, tetapi satu pelaburan untuk melindungi nyawa dan memastikan operasi organisasi dapat diteruskan dengan selamat," ujarnya.

Go to News Site