Collector
Kuota 200 liter tidak mencukupi, pengamal media mohon pengecualian khas RON95 | Collector
Kuota 200 liter tidak mencukupi, pengamal media mohon pengecualian khas RON95
Sinar Harian

Kuota 200 liter tidak mencukupi, pengamal media mohon pengecualian khas RON95

PUTRAJAYA - Pengamal media memohon kerajaan mempertimbangkan pengecualian khas bagi kuota petrol RON95 selepas pengurangan had bulanan kepada 200 liter dilihat tidak lagi mencukupi untuk keperluan tugasan lapangan.Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) dalam satu kenyataan bersama berkata, keputusan mengehadkan kuota BUDI RON95 kepada 200 liter sebulan berbanding 300 liter sebelum ini mula memberi cabaran besar kepada wartawan, jurugambar dan juruvideo.Menurutnya, keadaan itu menjejaskan kelancaran operasi liputan, khususnya bagi pengamal media yang bertugas di negeri-negeri dan perlu menempuh jarak perjalanan jauh setiap hari."GKMM menerima banyak keluhan dari pengamal media khususnya yang bertugas di negeri yang perlu menempuh jarak perjalanan jauh serta perlu berulang alik ke lokasi liputan setiap hari, menyebabkankuota 200 liter habis lebih awal sebelum sampai tempoh kuota berakhir pada setiap hujung bulan," katanya pada Jumaat.Jelas GKMM, pertimbangan itu penting bagi memastikan tugasan liputan dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa kekangan logistik yang menjejaskan penyampaian maklumat kepada masyarakat."Langkah ini akan membantu pengamal media dalam menyempurnakan serta melancarkan kerja-kerja liputan mereka di lapangan, selain meringankan beban ditanggung terutama dalam mendepani situasi kenaikan kos yang cukup mencabar ketika ini," kata GKMM.Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh GKMM bersama beberapa pertubuhan media lain termasuk Kelab Media Johor, Kelab Media Putrajaya, Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) serta Kelab Media Kuala Lumpur dan Selangor.Turut menyokong kenyataan tersebut ialah Persatuan Wartawan Bahagian Kuching, Sabah Journalist Association, Kelab Media Perak, Kelab Media Kelantan Darul Naim dan beberapa lagi organisasi media di seluruh negara.Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penyelarasan kelayakan Budi Madani RON95 (BUDI95) daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan, bermula 1 April lalu.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bersifat sementara, sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih, namun keadaan itu belum menunjukkan tanda ke arah tersebut.Dalam pada itu, GKMM menegaskan pihaknya memahami cabaran krisis tenaga global yang masih berlarutan susulan ketegangan di Asia Barat.Menurutnya, usaha kerajaan meneruskan pemberian subsidi bersasar kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif termasuk BUDI RON95, diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan serta bantuan kepada sektor tertentu adalah wajar.

Go to News Site