Sinar Harian
LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesahkan insiden bot yang membawa kira-kira 250 hingga 280 migran, disyaki warga Bangladesh dan Myanmar, yang dilaporkan karam di Laut Andaman baru-baru ini tidak berlaku dalam perairan negara.Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, insiden tersebut tidak berada di bawah bidang kuasa operasi Malaysia, sekali gus tidak melibatkan tanggungjawab langsung agensi itu dalam pelaksanaan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).Menurutnya, Maritim Negeri Kedah dan Perlis belum mengaktifkan Op GUARD setakat ini, namun langkah kesiapsiagaan tetap dipertingkatkan melalui pemantauan rapi di sekitar perairan utara Pulau Langkawi."Aset maritim telah ditempatkan di lokasi strategik bagi memastikan sebarang perkembangan dapat dikesan lebih awal, termasuk penggunaan sistem radar di kawasan sempadan perairan negara."Pemantauan ini penting bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara serta sebarang kemungkinan dapat ditangani dengan segera," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Jelasnya, Maritim Malaysia bagaimanapun telah menerima maklumat awal berhubung kejadian itu dan sedang mendapatkan kerjasama risikan daripada negara jiran bagi mengetahui perkembangan lanjut.Katanya, pihaknya akan segera menggerakkan aset sekiranya terdapat laporan mangsa hanyut atau penemuan mayat yang memasuki perairan negara."Sebarang operasi CARILAMAT di laut adalah tertakluk kepada negara yang mempunyai bidang kuasa di lokasi kejadian selaras dengan konvensyen maritim antarabangsa," ujarnya.Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan serta menjejaskan persepsi terhadap keupayaan agensi penguatkuasaan negara.Pada Rabu, media melaporkan sebuah bot yang membawa lebih 250 migran tanpa dokumen dilaporkan tenggelam di Laut Andaman selepas berlepas dari kawasan pantai Cox’s Bazar baru-baru ini seperti dilaporkan Anadolu Ajansi (AA) yang memetik pihak polis.Kejadian itu terbongkar selepas sebuah kapal Bangladesh menyelamatkan sembilan individu dari Lautan Hindi pada 9 April dan menyerahkan mereka kepada polis Bangladesh, kata Ketua Balai Teknaf, Saiful Islam, kepada AA.Bagaimanapun, beliau tidak memberikan jumlah tepat penumpang di atas bot itu, sebaliknya hanya menyatakan jumlah yang terlibat 'ramai'.
Go to News Site