Sinar Harian
KUANTAN – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang menambah antara lima hingga tujuh lagi Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) di seluruh negara bermula tahun hadapan.Langkah itu dilihat sebagai usaha memperluas akses pendidikan, khususnya kepada murid di kawasan luar bandar dan pedalaman yang berdepan cabaran jarak perjalanan jauh ke sekolah.Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, model K11 merupakan pendekatan terbaik bagi memastikan kesinambungan pendidikan murid tanpa perlu berpindah sekolah selepas menamatkan pendidikan rendah.Menurut beliau, murid di kawasan bandar lazimnya tidak menghadapi masalah besar untuk ke sekolah, namun situasi berbeza berlaku di kawasan pedalaman yang memerlukan tempoh perjalanan lebih panjang."Ada murid di luar bandar terpaksa mengambil masa antara satu jam hingga satu jam setengah untuk hadir ke sekolah setiap hari. Sebab itu model seperti K11 sangat penting," katanya.Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan inisiatif Sekolah Angkat MADANI (SAM) di Sekolah Kebangsaan FELDA Sungai Kemahal, berhampiran Triang, Bera, pada KhamisTurut hadir Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang menyantuni warga sekolah serta komuniti setempat dalam program berkenaan.Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa; Pegawai Pendidikan Daerah Bentong, Hanifah Veerankutty; serta Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World, Spencer Lee.Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, menerusi projek sekolah angkat itu, beberapa kemudahan telah disiapkan termasuk pembinaan gelanggang sofbal, menaik taraf makmal komputer serta kerja membaik pulih pintu pagar rosak hasil kerjasama Genting Malaysia Berhad."Saya merakamkan penghargaan kepada Genting atas sumbangan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat termasuk bantuan berjumlah RM100,000 kepada SK Sungai Kemahal dan RM118,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Sertik, Karak," katanya.Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan penambahan sekolah K11 tidak melibatkan pembinaan sekolah baharu, sebaliknya memanfaatkan sekolah sedia ada dengan menaik taraf fungsi institusi tersebut."Sekolah rendah atau menengah yang sedia ada akan diperluas supaya kedua-dua aliran dapat ditempatkan di bawah satu institusi yang sama," ujarnya.Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan murid meneruskan pembelajaran dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima tanpa perlu berpindah sekolah, sekali gus mengurangkan risiko keciciran pendidikan."Pada 2023, kita memperluas model K9 kepada K11 supaya anak-anak, khususnya murid Orang Asli dan mereka di luar bandar, dapat kekal belajar di sekolah sama sehingga Tingkatan Lima," katanya.Setakat ini, terdapat 26 sekolah K9 dan sembilan sekolah K11 di seluruh negara, manakala pemilihan lima hingga tujuh sekolah tambahan tahun hadapan akan ditentukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri mengikut keperluan kawasan masing-masing.
Go to News Site