Sinar Harian
TAMPIN – Enam sekeluarga kini hidup dalam ketakutan selepas kediaman mereka di Taman Indah di sini disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali.Kejadian pada Selasa lalu itu disedari oleh salah seorang ahli keluarga pada jam 3.30 pagi selepas terdengar bunyi bising di luar rumah.Mangsa, Haw Hui Ching, 42, berkata, dia yang terjaga daripada tidur kemudian menjenguk ke luar dan terkejut apabila mendapati rumah serta kereta Perodua Aruz yang diparkir di bahagian garaj disimbah cat merah."Saya melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan nampak dua lelaki menaiki motosikal melakukan perbuatan tersebut."Saya tidak pasti mengapa rumah kami menjadi sasaran, tetapi saya ingin menegaskan bahawa saya, suami, ibu mentua dan ayah mentua tidak meminjam wang daripada along atau sesiapa," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Hui Ching yang merupakan suri rumah percaya kejadian itu berpunca daripada salah faham berkaitan hutang individu lain yang tiada kaitan dengan mereka yang tinggal di situ.Justeru, katanya, dia berharap pihak terbabit dapat tampil atau menghubungi suaminya, Foo Ying Hau di talian 012-2711007 untuk memberikan penjelasan."Jika ada salah faham, sila hubungi kami. Kami cuma mahu penjelasan dan penyelesaian. Jangan libatkan keluarga kami yang tidak bersalah."Kejadian itu menyebabkan kami sekeluarga tidak dapat hidup tenang dan saya juga bimbang akan keselamatan dua anak berusia 10 dan 13 tahun," katanya.Tambahnya, dia juga bimbang kesihatan ayah mentuanya yang menghidap penyakit jantung dan buah pinggang akan terjejas kerana tertekan dengan apa yang berlaku.Selain itu, Hui Ching berkata, jiran-jirannya turut meluahkan kebimbangan jika mereka pula menjadi sasaran selepas ini."Kami sudah membuat laporan polis dan berharap suspek dapat ditangkap."Kejadian itu menyebabkan kami mengalami kerugian dianggarkan RM4,000 kerana cat tersebut sukar dibersihkan," katanya.Terdahulu, Hui Ching, suami dan ayahnya mengadakan sidang akhbar bersama Ketua MCA Cawangan Tampin, Koh Kim Swee.
Go to News Site