Collector
Beberapa parti sudah 'melamar', ingin sertai PN - Ahmad Samsuri | Collector
Beberapa parti sudah 'melamar', ingin sertai PN - Ahmad Samsuri
Sinar Harian

Beberapa parti sudah 'melamar', ingin sertai PN - Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU - Perikatan Nasional (PN) mengesahkan telah menerima permohonan daripada beberapa parti politik, termasuk Pejuang dan Berjasa, yang menyatakan minat untuk menyertai gabungan itu secara rasmi.​Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain dua parti tersebut, terdapat juga beberapa parti lain yang telah menyatakan hasrat sama bagi memperkukuhkan blok pembangkang itu.​Menurutnya, buat masa ini pihaknya sedang menilai setiap permohonan yang diterima dan telah menghantar nota maklum balas bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai latar belakang parti terbabit.​"Kita telah menghantar nota kepada parti-parti ini untuk mendapatkan maklumat tambahan seperti jumlah keahlian dan latar belakang mereka supaya kita lebih memahami serta boleh membuat pertimbangan sewajarnya.​"Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan datang. InsyaALLAH, jika tiada aral melintang, kita boleh terima permohonan mereka," katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Pas Terengganu di sini pada Khamis.​Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu menjelaskan, meskipun permohonan rasmi telah diterima, keputusan akhir berhubung kelulusan penyertaan hanya akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi gabungan berkenaan.​Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan senarai penuh parti-parti lain yang terlibat bagi menjaga keharmonian antara semua pihak.​"Saya tidak mahu menyebut nama parti secara spesifik buat masa ini kerana bimbang jika tidak diluluskan nanti, ada pihak yang terasa hati.​"Kita berharap semua anggota Majlis Tertinggi mempunyai fikiran terbuka dan berlapang dada untuk memperkukuhkan PN dengan penyertaan pelbagai parti yang ada dalam negara kita," ujarnya.​Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri turut menyentuh mengenai persediaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung pada Isnin ini.​Kata beliau, fokus utama sidang kali ini adalah istiadat pembukaan yang akan disempurnakan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang dijangka menyentuh peranan kerajaan negeri serta cabaran semasa.​"Perbahasan daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat (ADUN) adalah perkara yang kita nantikan, terutamanya untuk mendengar cadangan bagi menangani cabaran fizikal dan ekonomi bagi memperkukuhkan kerajaan negeri," katanya.

Go to News Site