Sinar Harian
KOTA KINABALU - Pasukan peguam mewakili ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akan memanggil enam saksi pakar untuk memberi keterangan dalam prosiding inkues yang bersambung pada Mei dan Jun depan di Mahkamah Koroner di sini.Peguam, Datuk Rizwandean M Borhan berkata, keterangan saksi pakar itu dijangka dikemukakan selepas saksi ke-70 selesai memberi keterangan pada sesi prosiding akan datang.Menurutnya, selepas deponen ke-70 selesai, seorang lagi saksi sebelum ini iaitu Dr Chua Sze Hung, turut akan dipanggil semula bagi melengkapkan soal jawab yang masih belum selesai."Selepas deponen ke-70, Dr Chua akan dipanggil semula kerana kami belum lagi menyoalnya sepenuhnya. Selepas itu, kemungkinan besar kami akan memanggil saksi pakar daripada pihak kami," katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding pada Jumaat.Beliau berkata, antara pakar yang akan dipanggil ialah Dr Linthini Gannetion yang merupakan pakar tulisan tangan dan pemeriksa dokumen forensik.Selain itu, pihaknya juga akan memanggil Dr Tay Eue Kam bersama dua lagi ahli pasukannya iaitu Dr Dzulkiflee Ismail dan Dr Wan Syuhaila Mat Isa yang turut mempunyai kepakaran dalam analisis tulisan tangan serta dokumen forensik."Selepas Dr Linthini dan pasukan Dr Tay, kami juga akan memanggil pakar psikologi serta psikiatri," katanya.Menurut beliau, dua lagi pakar berkenaan ialah Dr Noor Aishah Rosli dari Semenanjung Malaysia dan Dr Wong Haw Huo yang berpangkalan di Kota Kinabalu.Mengulas jumlah keseluruhan saksi yang masih akan dipanggil, Rizwandean berkata, pihaknya menjangkakan antara 10 hingga 11 orang lagi termasuk enam saksi pakar.Katanya, jumlah itu turut merangkumi ibu Zara Qairina, beberapa ahli keluarga serta seorang saksi kanak-kanak.Prosiding inkues seterusnya ditetapkan berlangsung pada 18 hingga 22 Mei, manakala sambungan berikutnya dijadualkan pada 22 hingga 26 Jun depan.Sebelum itu, selain Rizwandean, pasukan tersebut turut dibarisi oleh Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.Inkues dijalankan selepas kejadian Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini.
Go to News Site