Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Bekas juru X-ray di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) mendakwa berlaku pelanggaran serius terhadap prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan radiasi di Unit Perubatan Nuklear hospital berkenaan.Nur Fauzia Abdul Razak, 35, berkata, keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan dalam kalangan kakitangan dan pesakit.Dia yang kini menderita penyakit kanser limfoma Hodgkin tahap empat mendakwa terpaksa dibersarakan awal kerana tidak lagi mampu bekerja serta masih menjalani rawatan kemoterapi."Setakat ini saya menjalani lebih 20 kitaran kemoterapi selepas disahkan menghidap kanser pada Mac 2023."Bahagian Kawalan Radiasi dan Perubatan (BKRP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan penyakit yang saya hadapi ini berpunca daripada kesan pendedahan radiasi jangka panjang atau dikenali sebagai stochastic effect," katanya dalam satu sidang akhbar bersama peguamnya di sini pada Jumaat.Nur Fauzia mendakwa, selepas pemasangan mesin Positron Emission Tomography–Computed Tomography (PET-CT) di Menara Selatan PPUM beberapa tahun lalu, statistik kakitangan yang jatuh sakit dengan penyakit berkaitan pendedahan radiasi menunjukkan peningkatan mendadak.Sehingga kini, katanya, seramai tiga kakitangan telah disahkan menghidap kanser paru-paru, kanser darah dan kanser payu dara."Selain itu, terdapat empat kakitangan lain disahkan menghidap penyakit tiroid. Lebih membimbangkan, salah seorang pesakit kanser payu dara yang dimaksudkan terpaksa menjalani pembedahan Caesarean Section (C-Section) untuk melahirkan anak secara pramatang."Prosedur itu perlu dijalankan sebelum menjalani pembedahan pembuangan keseluruhan tisu payu dara bagi tujuan rawatan kanser."Kesemua kakitangan yang terlibat adalah daripada Jabatan Radiologi dan bekerja di tingkat lima menara berkenaan," ujarnya.Tambah Nur Fauzia, situasi tersebut telah menimbulkan kebimbangan bahawa telah berlaku pelanggaran SOP keselamatan radiasi di unit berkenaan.Sehubungan itu, katanya, satu laporan rasmi sudah diserahkan kepada BKRP, bagaimanapun berdasarkan dokumen rasmi yang dikeluarkan, terdapat percanggahan maklumat antara dapatan siasatan dan maklum balas yang diberikan oleh pihak berkenaan."Saya percaya bahawa telah berlaku manipulasi data serta laporan teknikal bagi tujuan menutup kes ini daripada pengetahuan umum."Saya juga percaya pihak PPUM sendiri telah gagal mematuhi prosedur keselamatan serta tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh pihak bertanggungjawab," katanya.Fauzia sehubungan itu berkata, dia akan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak PPUM berhubung isu berkenaan.
Go to News Site