Sinar Harian
PUTRAJAYA – Dakwaan bahawa 127.3 hektar Pulau Sebatik kini menjadi milik Indonesia adalah tidak tepat dan tidak selaras dengan rekod rasmi yang dipersetujui kedua-dua negara.Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menegaskan, laporan berkenaan tidak menggambarkan keseluruhan proses penentuan sempadan yang telah melalui rundingan panjang serta berasaskan perjanjian antarabangsa.Menurut beliau, penentuan sempadan darat di Pulau Sebatik adalah berpandukan kepada Boundary Convention 1891 yang ditandatangani antara kerajaan British dan Belanda pada 20 Jun 1891."Berdasarkan Artikel IV perjanjian tersebut, jajaran sempadan darat di Pulau Sebatik ditetapkan di sepanjang garisan latitud 4º 10’ Utara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Kenyataan itu dibacakan oleh Ketua Setiausaha NRES, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin dalam sesi libat urus bersama editor media di sini.Arthur menjelaskan, semakan teknikal bersama Malaysia dan Indonesia pada 1983 mendapati terdapat perbezaan antara jajaran sempadan di lapangan berbanding yang direkodkan dalam perjanjian asal.Susulan itu, rundingan berterusan selama 35 tahun akhirnya mencapai resolusi yang diluluskan pada Oktober 2018 bagi memastikan jajaran sempadan mematuhi prinsip konvensyen asal.Beliau berkata, kerja siasatan, penandaan serta pengukuran semula telah dilaksanakan secara bersama oleh pasukan ukur kedua-dua negara dari Februari hingga November 2019 menggunakan teknologi moden bagi memastikan jajaran sempadan ditentukan dengan lebih tepat selaras dengan prinsip perjanjian asal.Mengulas persepsi kononnya Malaysia kehilangan wilayah, Arthur menegaskan penyelesaian persempadanan itu dibuat secara berpakej melibatkan beberapa lokasi lain."Malaysia telah memperoleh pertambahan wilayah seluas 780 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia, kini berada dalam wilayah Malaysia," katanya.Tambah beliau, di Pulau Sebatik sendiri, Malaysia turut memperoleh tambahan lima hektar kawasan yang sebelum ini berada di wilayah Indonesia."Manakala kawasan seluas 123 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini berada dalam wilayah Indonesia," ujarnya.Jelas Arthur, pemuktamadan jajaran sempadan itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia pada 18 Februari 2025.Menurutnya, perjanjian tersebut menandakan pencapaian signifikan hasil rundingan dan kerjasama teknikal yang berlangsung lebih 45 tahun.Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan Sabah sentiasa dilibatkan dalam setiap peringkat rundingan teknikal dan diplomatik bagi memastikan kepentingan negeri terpelihara."Keseluruhan proses ini dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama antara kedua-dua negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa serta tidak melibatkan prinsip pampasan, timbal balik atau pertimbangan untung rugi," katanya.Arthur berkata, pemuktamadan sempadan itu memberi kepastian dari segi perundangan dan pentadbiran, sekali gus memudahkan penyampaian perkhidmatan kerajaan serta pengurusan keselamatan.Beliau turut menegaskan pendekatan diplomasi yang berterusan antara Malaysia dan Indonesia penting bagi mengekalkan keharmonian serta mengelakkan konflik di lapangan.Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak media agar mendapatkan pengesahan daripada sumber berautoriti sebelum menyiarkan laporan berkaitan isu sempadan negara, bagi memastikan ketepatan serta mengelakkan kekeliruan dan persepsi yang tidak tepat dalam kalangan masyarakat.Rabu lalu, Ketua Pejabat Staf Presiden Indonesia, Muhammad Qodari memaklumkan bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini secara rasmi disahkan sebagai milik Indonesia selepas proses penetapan sempadan darat antara kedua-dua negara dimuktamadkan.Beliau berkata, penyelesaian berkenaan merupakan hasil diplomasi damai antara Indonesia dan Malaysia yang telah disepakati bersama, sekali gus memperjelaskan garis sempadan rasmi di kawasan berkenaan serta mengukuhkan kedaulatan wilayah Indonesia.Bagaimanapun, Muhammad Qodari menjelaskan bahawa pelarasan sempadan turut melibatkan perubahan kecil di pihak Indonesia, apabila kira-kira 4.9 hektar kawasan negara itu kini dimasukkan ke dalam wilayah Malaysia.
Go to News Site