Sinar Harian
SHAH ALAM - Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) menggesa semua organisasi media di kedua-dua negara agar memperkukuh naratif harmoni dalam pelaporan isu penyelesaian sempadan darat sektor Sabah–Kalimantan Utara (KALTARA) serta mengelakkan kandungan yang boleh mencetuskan salah faham.Presiden ISWAMI Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan menerusi satu kenyataan bersama menegaskan, pelaporan media perlu mengutamakan sumber rasmi kedua-dua negara di samping mengamalkan pendekatan yang berimbang, berhemah serta berteraskan konteks.Kenyataan bersama itu turut menjelaskan bahawa rundingan berkaitan penandaan dan pengukuran di kawasan 'Outstanding Boundary Problem' (OBP) tidak berasaskan prinsip timbal balik, pampasan atau pertimbangan untung rugi."Media perlu berperanan sebagai jambatan persefahaman yang mengukuhkan hubungan dua hala, bukan menjadi pencetus salah faham."Laporan tidak tepat, tidak seimbang atau bersifat spekulatif hanya akan menjejaskan hubungan baik yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia," katanya pada Jumaat.Pihaknya turut menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan kedua-dua negara terus mengutamakan pendekatan diplomasi berteraskan semangat muhibah, hormat dan setiakawan dalam menangani isu berkenaan.Sehubungan itu, ISWAMI menggesa kerajaan Malaysia dan Indonesia supaya menyediakan taklimat khas kepada pengamal media."Ia bagi memastikan fakta yang jelas, tepat dan selaras dapat disampaikan kepada rakyat, sekali gus mengelakkan kekeliruan serta spekulasi tidak berasas."ISWAMI menegaskan bahawa peranan media amat penting dalam memastikan isu sensitif seperti sempadan negara dilaporkan secara bertanggungjawab dengan mengutamakan sumber sahih serta pelaporan berimbang demi kepentingan bersama dan kestabilan serantau," ujarnya lagi.
Go to News Site