Sinar Harian
PUTRAJAYA – Empat karya seni bernilai tinggi yang berjaya dibawa pulang ke Malaysia berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bakal dipamerkan untuk tatapan umum di Balai Seni Negara dalam masa terdekat.Lukisan itu ialah hasil karya artis terkenal dunia Joan Miró – Composition (1953); Maurice Utrillo – Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St Vincent, Montmartre (1934); Balthus – Etude pour femme couchée (1948) serta Pablo Picasso – L’Ecuyere et les clowns (1961).Keempat-empat karya seni itu bernilai kira-kira AS$198,125 (anggaran RM786,556.25).Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya memperkukuh komitmen dalam memelihara integriti aset negara menerusi kerjasama strategik bersama Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN).Menurutnya, rampasan karya seni ini bukan sekadar kejayaan penguatkuasaan, malah membuktikan usaha berterusan SPRM dalam membanteras jenayah kewangan berskala besar demi membawa pulang khazanah milik negara."Meskipun proses perundangan dan keputusan mahkamah bagi tujuan pelucuthakan hak masih berjalan, keutamaan SPRM kini adalah memastikan keselamatan dan keadaan fizikal barang kes tersebut kekal terpelihara tanpa sebarang kerosakan."SPRM turut berhasrat untuk menjadikan karya seni ini sebagai sebahagian daripada bahan sejarah negara untuk dipamerkan kepada umum setelah semua proses undang-undang selesai kerana ia merupakan simbolik kepada ketegasan negara dalam menentang ketirisan aset melalui amalan rasuah," katanya dalam kenyataan.Rabu lalu, Azam menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.Kunjungan hormat itu turut dihadiri Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd. Yusoff.Menurut Amerrudin, Balai Seni Negara bersedia untuk memberikan khidmat kepakaran melalui fasiliti khusus kerana karya seni itu mempunyai sensitiviti tinggi dan penempatan di ruangan biasa berisiko menjejaskan nilai estetika serta nilai pasaran karya.Sehubungan itu, katanya, penggunaan bilik kebal dengan kawalan suhu dan kelembapan di Balai Seni Negara dilihat sebagai langkah mitigasi terbaik sebelum dipamerkan kepada umum.Kunjungan hormat itu diakhiri dengan sesi pemeriksaan fizikal karya seni tersebut yang dikendalikan oleh pasukan Art Hospital, Balai Seni Negara yang merupakan Pusat Repositori dan Konservasi Seni Negara yang berfungsi sebagai pusat repositori catan, karya atas kertas, objek seni dan arca.SPRM sebelum ini memaklumkan sehingga kini, Malaysia telah berjaya memulihkan aset berkaitan 1MDB berjumlah kira-kira RM31.2 bilion, iaitu bersamaan hampir 70 peratus daripada keseluruhan aset yang dikenal pasti.Terdahulu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ) bersetuju memulangkan 12 lukisan bernilai tinggi kepada Malaysia melalui SPRM hasil kerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menerusi siri perbincangan di Washington, DC dan New York pada Disember tahun lalu.Difahamkan, satu karya dipercayai nukilan Pablo Picasso masih berada di Switzerland.Enam lagi mahakarya pelukis terkenal dunia yang pernah dimiliki saksi kes 1MDB, Jasmine Loo, masih di bawah jagaan rumah lelong terkenal, Christie’s dan hanya boleh diserahkan melalui perintah mahkamah di Amerika Syarikat.
Go to News Site