Sinar Harian
SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membantu seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada keluarga enam beradik yatim piatu untuk melanjutkan pengajian di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), sekali gus meringankan beban kewangan yang ditanggung kakak sulung mereka.Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bapa mereka telah meninggal dunia pada 2019, manakala ibu pula meninggal dunia tahun lalu meninggalkan enam beradik itu tanpa tempat bergantung.Beliau berkata, kisah menyayat hati itu diterimanya menerusi satu mesej yang memaklumkan kakak sulung berusia 25 tahun bekerja sebagai pembantu kedai runcit demi menyara adik-adiknya."Dua adiknya sedang melanjutkan pengajian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), manakala seorang lagi lepasan SPM bercadang memohon ke KPTM."Insya-ALLAH, saya dan MARA akan bantu," katanya menerusi satu hantaran Facebook pada Jumaat.Menurut beliau, selain dua yang sedang melanjutkan pengajian di UTHM dan UiTM, dua lagi daripada mereka masih bersekolah menengah."Pelajar lepasan SPM mohon Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di KPTM. Saya sudah minta KPTM mempermudahkan urusan dan Insya-ALLAH, Mara akan biayai pengajiannya," ujarnya.Tambah Asyraf Wajdi, beliau telah meminta KPTM memudahkan urusan pelajar terbabit, manakala Mara akan membantu membiayai pengajiannya.Dalam perkembangan sama, kongsi beliau, Timbalan Naib Canselor UTHM turut menghubunginya dan memaklumkan universiti itu akan membantu salah seorang daripada adik-beradik yang sedang menuntut di institusi tersebut.
Go to News Site