Sinar Harian
SHAH ALAM - Lonjakan harga petroleum pada hari ini bukan berpunca daripada kenaikan harga minyak mentah semata-mata.Kementerian Kewangan (MoF) berkata, konflik di Asia Barat turut meningkatkan risiko terhadap rantaian bekalan petroleum global, sekali gus melonjakkan kos penghantaran dan premium insurans."Sebagai contoh, premium insurans kini meningkat sehingga 17 kali ganda berbanding sebelum konflik, berikutan Asia Barat dikategorikan sebagai zon berisiko tinggi."Kos penghantaran pula melonjak sehingga tiga kali ganda, didorong oleh kenaikan harga minyak serta laluan perjalanan yang lebih jauh bagi mengelakkan kawasan konflik."Peningkatan kos di sepanjang rantaian bekalan dan penapisan petroleum yang jauh melebihi kenaikan harga minyak mentah akhirnya memberi kesan kepada harga runcit di pam," kata kementerian itu menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.Justeru, kata MoF, Kerajaan Madani kekal tekad melindungi rakyat meskipun dalam suasana luar biasa yang memberi tempias ke seluruh dunia.Jelasnya, semua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu aktif terus menikmati BUDI Madani RON95 (BUDI95) pada harga RM1.99 seliter, walaupun harga tanpa subsidi meningkat hampir dua kali ganda sejak konflik Asia Barat tercetus."Kerajaan Madani juga telah meningkatkan bantuan BUDI Diesel kepada RM400 bagi April 2026, iaitu kenaikan kali kedua daripada kadar asal iaitu RM200," ujar MoF.Berdasarkan infografik disediakan Unit Komunikasi Korporat MoF, harga minyak mentah Brent meningkat 1.5 kali ganda dari AS$66 setong (RM310.20) sebelum konflik kepada AS$101.50 setong (RM477.05) semasa.Kos penghantaran pula menyaksikan peningkatan tiga kali ganda daripada AS$7.5 juta (RM35.25 juta) bagi setiap perjalanan kepada AS$20.5 juta (RM96.35 juta).Bagi premium insurans, peningkatan sebanyak 17 kali ganda direkodkan daripada AS$112,500 (RM528,750) kepada AS$1.9 juta (RM8.93 juta) bagi setiap perjalanan.
Go to News Site