Collector
Hishammuddin, KJ diterima kembali ke dalam UMNO tanpa syarat | Collector
Hishammuddin, KJ diterima kembali ke dalam UMNO tanpa syarat
Sinar Harian

Hishammuddin, KJ diterima kembali ke dalam UMNO tanpa syarat

MELAKA - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu bersetuju menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti atas apa jua faktor.Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Melaka pada Jumaat.Menurutnya, antara nama pemohon yang telah diputuskan oleh MKT termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin serta Tan Sri Syed Hamid Albar."Ia termasuk 6,252 bekas pimpinan serta ahli di peringkat UMNO bahagian dan cawangan seluruh negara."Ketetapan itu sebagai menyokong dan mendukung penuh gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan oleh Ahmad Zahid bagi membuka ruang kepada mana-mana ahli untuk kembali menyertai UMNO tanpa sebarang syarat," katanya pada sidang akhbar selepas selesai Mesyuarat MKT berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada malam Jumaat.Tambah beliau, selaras dengan Fasal 5.2 Perlembagaan UMNO, MKT turut meminda Peraturan Keahlian dengan membolehkan pendaftaran dibuat secara dalam talian bagi memudahkan kemasukan ahli baharu, khususnya dalam kalangan golongan muda.Dalam pada itu, beliau berkata, MKT turut menyedari cabaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat susulan kenaikan harga minyak dan inflasi global, termasuk kesan konflik di Iran.Justeru katanya, negeri-negeri yang diterajui pimpinan UMNO seperti Johor, Melaka, Perak dan Pahang disaran memberi tumpuan kepada penyediaan bantuan tambahan kepada golongan yang terkesan.Mengulas lanjut, beliau berkata, sempena sambutan ulang tahun ke-80 UMNO yang akan berlangsung dari 1 hingga 5 Mei 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur, beberapa program utama akan diadakan.Katanya, program tersebut termasuk Konvensyen 80 Tahun UMNO, Kongres Pendidikan Bumiputera, Karnival Keusahawanan dan Pendidikan serta Majlis Khas Ramah Mesra Pemuda dan Puteri UMNO bersama ahli baharu.Selain itu katanya, selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO, MKT turut memberi kebenaran kepada sayap parti iaitu Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri untuk mengadakan persidangan peringkat cawangan secara hibrid, iaitu gabungan kehadiran fizikal dan dalam talian, khususnya pada tahun tanpa pemilihan parti.

Go to News Site