Collector
Satu demi satu karam | Collector
Satu demi satu karam
Sinar Harian

Satu demi satu karam

SITUASI pasukan berdepan masalah kewangan dan mahu berundur daripada saingan Liga Super bukanlah sesuatu yang benar-benar mengejutkan dalam senario bola sepak tempatan.Malah, ramai peminat sudah dapat menghidu ‘skrip lama’ ini berulang setiap musim iaitu isu kewangan yang kembali menghantui pasukan seolah-olah menjadi penyakit kronik yang masih belum ditemukan penawarnya.Mengambil contoh seperti Perak yang menarik diri musim lalu selain Kedah yang tidak mendapat lesen kebangsaan, kedua-duanya kerana masalah kewangan kini bermain dalam saingan Liga A1 semi pro.Sri Pahang turut mengambil langkah sama, namun lebih kronik terus hilang dari radar bola sepak negara.Terbaharu, Terengganu FC (TFC) turut memberikan bayangan akan mengundurkan diri daripada saingan Liga Super musim depan dan hanya beraksi dalam saingan Liga A1 semi pro.Melihat kepada pasukan TFC, mereka bukanlah sebuah kelab yang kecil, berada dalam kelompok lima terbaik liga, memiliki struktur pengurusan yang stabil, sokongan penyokong serta sistem pembangunan pemain yang tersusun.Justeru, apabila kelab seumpama ini mula bercakap tentang kemungkinan turun ke Liga A1, ia memberi gambaran jelas bahawa masalah ini sudah jauh membarah dalam ekosistem bola sepak negara.Persoalan besar kini jika pasukan yang dianggap stabil pun sudah mula ‘sesak nafas’, bagaimana pula dengan nasib kelab-kelab lain yang jauh lebih kecil dan bergelut tanpa perhatian?Sekiranya TFC benar-benar mengambil langkah drastik itu, impaknya bukan kecil dan berpotensi mencetuskan kesan domino kepada kelab lain yang selama ini bertahan dalam diam, namun berdepan tekanan kewangan yang sama.Tidak mustahil, Liga Super musim hadapan akan menjadi ‘tempang’ dengan jumlah penyertaan yang semakin mengecil.Jika keadaan ini berterusan, statusnya sebagai liga elit negara pasti akan tercalar.Hakikatnya, bola sepak Malaysia masih gagal menarik pelaburan korporat secara konsisten sejak mengharungi proses penswastaan.Secara asasnya, penajaan dalam sukan profesional bergantung kepada pulangan pelaburan (ROI).Syarikat mahukan pendedahan jenama yang meluas, imej positif serta kestabilan platform yang ditaja, namun, Liga Super ketika ini gagal menawarkan ketiga-tiga elemen tersebut secara konsisten.Selain itu, nilai tontonan dan capaian liga juga menyumbang kepada masalah ini.Berbanding liga luar, Liga Super jauh ketinggalan dari segi daya tarikan penonton, baik di stadium mahupun di platform penyiaran.Tanpa angka tontonan yang kukuh, sukar untuk meyakinkan penaja bahawa pelaburan mereka berbaloi.Perkembangan ini seharusnya menjadi ancaman berganda kepada pasukan, badan induk seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL dalam memastikan saingan lebih sihat untuk musim depan.Jika tajaan kepada pasukan pada musim ini sudah kurang memberangsangkan, bagaimana pula untuk musim depan?Ditambah dengan keadaan ekonomi semasa dan ketidaktentuan dunia, satu jangkaan situasi lebih perit bakal dihadapi pasukan dalam saingan liga untuk mendapatkan penajaan.Ia sekali gus turut memberikan bayangan kemungkinan ada lagi pasukan yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super.Kita tidak mahu satu hari nanti Liga Super hanya tinggal enam atau lapan pasukan sahaja.Jika itu berlaku, ia bukan lagi sebuah liga nasional sebaliknya menjadi kejohanan jemputan yang hilang nilai kompetitif.

Go to News Site