Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sekali lagi enggan mengulas mengenai status kontrak perkhidmatannya yang hampir tamat tidak lama lagi.Beliau hanya memberikan jawapan ringkas ketika diajukan soalan berhubung perkara itu."Saya tidak tahu, wallahualam," katanya ketika ditemui pada Anugerah Media SPRM kali ke-6 tahun 2025 di sini pada Jumaat.Terdahulu, media melaporkan kontrak Azam dijadualkan berakhir kurang sebulan selain beberapa nama dikatakan diteliti sebagai pengganti.Untuk rekod, Azam telah tiga kali dilantik semula bagi memegang jawatan berkenaan, masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024, 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025, serta 13 Mei 2025 hingga 12 Mei tahun ini.Beliau mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 bagi menggantikan Latheefa Beebi Koya yang memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.Dibawah pimpinannya, antara kes berprofil tinggi sepanjang 2025 hingga kini adalah pertuduhan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pendakwaan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin serta empat pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia yang didakwa berhubung tuduhan salah guna kedudukan, pecah amanah, pengubahan wang haram dan menerima benda berharga.
Go to News Site