Collector
Pas terus desak tubuh RCI siasat mafia korporat - Ahmad Fadhli | Collector
Pas terus desak tubuh RCI siasat mafia korporat - Ahmad Fadhli
Sinar Harian

Pas terus desak tubuh RCI siasat mafia korporat - Ahmad Fadhli

KOTA BHARU - Pas terus mendesak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) segera ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan mafia korporat dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa mempengaruhi institusi penguat kuasa serta mencetuskan persoalan serius terhadap integriti sistem pentadbiran negara.Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, siasatan menyeluruh perlu dilakukan susulan pelbagai pendedahan dan dakwaan yang timbul berkait isu integriti melibatkan institusi penting negara.Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, penubuhan RCI dilihat sebagai mekanisme terbaik bagi memastikan ketelusan dalam menilai dakwaan yang semakin membimbangkan itu."Isu ini bukan lagi perkara kecil, ia melibatkan dakwaan wujudnya pengaruh mafia korporat serta kemungkinan salah guna kuasa dalam institusi penguat kuasa."Sebab itu Pas konsisten menyatakan bahawa siasatan menyeluruh perlu dilaksanakan dan pada pandangan Pas, RCI adalah jalan yang wajar," katanya ketika berucap dalam program Jelajah Ceramah: Pentas Rakyat Tolak Rasuah di sini pada Jumaat.Media antarabangsa, Bloomberg sebelum ini mendakwa mengenai kewujudan gerakan mafia korporat dengan menyediakan perkhidmatan intimidasi bagi memaksa pengambilalihan syarikat.Laporan itu turut mendakwa wujud rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM yang menggunakan serbuan serta siasatan untuk memberi tekanan kepada eksekutif supaya menjual pegangan saham dalam syarikat disasarkan.Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan sambil menyifatkannya tidak berasas selain menggesa mana-mana pihak mempunyai maklumat membuat laporan polis.Dalam masa sama, Ahmad Fadhli turut menegaskan Pas bersama dengan pihak yang memerangi rasuah walaupun pendekatan berbeza termasuk demotrasi jalanan."Pas kekal berpendirian bahawa sebarang dakwaan melibatkan salah guna kuasa dan integriti perlu disiasat secara telus bagi mengelakkan persepsi negatif berpanjangan terhadap institusi negara," katanya.Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Faisal Aziz memaklumkan Pas memberi komitmen untuk menghantar wakil pimpinan ke demonstrasi `Tangkap Azam Baki’ akan diadakan Sabtu ini, namun penyertaan tersebut masih belum dimuktamadkan sepenuhnya.Beliau berkata, perbincangan bersama Pas berlangsung termasuk dengan Pemuda Pas Selangor bagi memastikan penyertaan parti itu dalam himpunan berkenaan yang dijangka berlangsung di Kuala Lumpur.Menurutnya, beberapa siri jelajah dan program termasuk di Johor serta Grand Finale di Selangor dan Kuala Lumpur akan menjadi pemanas kepada himpunan tersebut yang memberi fokus kepada isu berkaitan SPRM."Himpunan itu dianjurkan mengikut lunas undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman dan kami bersedia memberi kerjasama kepada pihak polis bagi kelancaran keselamatan dan lalu lintas."Fokus utama himpunan adalah memberi tekanan agar tidak berlaku lanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM serta mendesak RCI dan reformasi institusi berkaitan rasuah," katanya.

Go to News Site