Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Pendekatan luar biasa diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila Ketua Pesuruhjayanya sendiri tampil memegang watak utama dalam Video Korporat Baharu 2026 yang diterbitkan berkonsepkan drama.Langkah berani itu menyaksikan Tan Sri Azam Baki bergandingan bersama barisan pegawai kanan SPRM dalam sebuah penceritaan kreatif yang bertujuan mendekatkan mesej antirasuah kepada masyarakat.Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, video tersebut diterbitkan dengan pendekatan dramatik bagi memperkukuh penyampaian mesej integriti secara lebih segar dan mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat.Menurutnya, penerbitan berkenaan turut menampilkan kelainan apabila watak-watak utama dilakonkan sendiri oleh kepimpinan tertinggi suruhanjaya berkenaan."Menariknya, penerbitan video ini menampilkan kelainan apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri memegang watak utama bersama barisan pegawai kanan SPRM."Ia sekali gus memberikan pendekatan lebih dekat dan mudah difahami dalam menyampaikan mesej integriti kepada khalayak," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Katanya, video korporat berkenaan telah diluncurkan sempena Majlis Malam Anugerah Media SPRM Kali Keenam 2025 yang berlangsung pada Jumaat.Dalam pada itu, jelasnya, video tersebut dihasilkan dalam dua versi iaitu versi pendek berdurasi lima minit dan versi penuh selama 13 minit."Kedua-dua versi turut dilengkapi sarikata Bahasa Inggeris sebagai usaha memperluas capaian penonton ke peringkat antarabangsa."Penerbitan Video Korporat Baharu SPRM 2026 diharap menjadi medium efektif dalam menampilkan wajah baharu suruhanjaya itu kepada rakyat dan dunia selain memperkukuh keyakinan awam terhadap komitmen berterusan SPRM dalam memerangi rasuah," katanya.
Go to News Site