Collector
Kerugian akibat penipuan pelaburan cecah RM1.47 bilion | Collector
Kerugian akibat penipuan pelaburan cecah RM1.47 bilion
Sinar Harian

Kerugian akibat penipuan pelaburan cecah RM1.47 bilion

KUALA LUMPUR - Kerugian akibat penipuan pelaburan merekodkan nilai sebanyak RM1.47 bilion melibatkan 9,603 kes di seluruh negara pada tahun lalu.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya mengenal pasti sekurang-kurangnya lima modus operandi utama yang digunakan sindiket.Katanya, kebanyakan taktik tersebut menjadikan media sosial sebagai medium utama untuk memperdaya mangsa."Baru-baru ini, sindiket dikesan aktif menggunakan Facebook dan Instagram bagi menarik mangsa sebelum mengalihkan komunikasi ke aplikasi WhatsApp atau Telegram."Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan pelaburan palsu yang kononnya dikendalikan oleh profesional," katanya baru-baru ini.Menurutnya, antara modus operandi dikenal pasti termasuk klon firma pelaburan, tawaran keuntungan tinggi dalam tempoh singkat, skim Ponzi, penipuan pelaburan berunsur percintaan serta penggunaan platform kripto palsu."Mangsa akan melihat paparan keuntungan dalam platform palsu, namun tidak dapat membuat pengeluaran."Mereka kemudian diminta membuat bayaran tambahan seperti caj pemprosesan, cukai atau yuran lain sebelum dibenarkan mengeluarkan keuntungan," jelasnya.Beliau berkata, trend semasa turut menunjukkan peningkatan penggunaan aset kripto seperti USDT (Tether).Katanya, mangsa diarahkan memindahkan wang ke dompet digital sindiket melalui platform tidak sah."Bagi skim Ponzi, keuntungan awal dibayar menggunakan dana pelabur baharu sebelum sistem akhirnya gagal apabila tiada kemasukan baharu," katanya.Mengulas statistik, Rusdi berkata, kes pelaburan tidak wujud menunjukkan peningkatan ketara dari tahun ke tahun."Pada 2024, sebanyak 6,337 kes direkodkan dengan kerugian RM848.6 juta."Angka itu meningkat kepada 9,603 kes dengan kerugian RM1.47 bilion pada 2025," katanya.Tambah beliau, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini sahaja, sebanyak 2,204 kes dilaporkan."Kes tersebut melibatkan kerugian RM246.7 juta, menunjukkan jenayah ini masih berterusan dan membimbangkan," katanya.Menurutnya, pelaburan saham mencatatkan jumlah kes tertinggi diikuti pelaburan melibatkan kripto dan emas."Dari segi profil mangsa, golongan berusia antara 31 hingga 50 tahun paling ramai terlibat, khususnya kumpulan umur 41 hingga 50 tahun."Ia diikuti golongan berusia 51 hingga 60 tahun serta 21 hingga 30 tahun," katanya.Beliau berkata, golongan bekerja dalam sektor swasta mencatatkan jumlah mangsa tertinggi diikuti penjawat awam serta individu bekerja sendiri.Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat."Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum melabur."Jangan sesekali membuat bayaran ke akaun meragukan termasuk akaun individu yang tidak berdaftar," katanya.

Go to News Site