Sinar Harian
KOTA BHARU - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan berunding dengan Rusia untuk membeli minyak bagi memastikan ia mencukupi untuk kegunaan rakyat negara ini.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini banyak negara Eropah dan Amerika yang dahulu menyekat Rusia terpaksa berebut membeli minyak dari negara berkenaan."Nasib baik hubungan kita dengan Rusia masih baik. Jadi... pasukan Petronas boleh berunding dengan Rusia," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.Hadir sama ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan tindakan diplomasi awal kerajaan berjaya memastikan kapal minyak negara menjadi antara yang terawal melepasi laluan kritikal di Selat Hormuz.Ujarnya, ia sekali gus mengelakkan gangguan besar terhadap rantaian bekalan tenaga negara.Anwar memberitahu, ketegangan 'geopolitik' melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan negara Eropah memberi kesan langsung kepada sektor pengangkutan global, harga minyak serta bekalan baja yang menjadi keperluan penting negara."Alhamdulillah, kapal minyak Petronas semalam telah selamat tiba di Pengerang Integrated Complex. Keperluan penghantaran ke Pengerang ini penting kerana proses penapisan hanya boleh dilakukan di situ."Kejayaan tersebut hasil hubungan awal kerajaan dengan kepimpinan Iran, membolehkan laluan diberikan ketika rundingan antarabangsa mengenai masa depan Selat Hormuz masih menemui jalan buntu," ujarnya.Mengulas lanjut, Anwar mengakui masih terdapat beberapa kapal negara yang berdepan masalah termasuk kelewatan dan kerosakan, namun usaha sedang giat dijalankan untuk menyelesaikannya.Kata beliau, krisis global itu turut mendorong negara lain mendapatkan kerjasama Malaysia, termasuk Anthony Albanese yang mengadakan lawatan ke negara ini baru-baru ini bagi membincangkan bekalan petrol, diesel dan baja."Keutamaan kita tetap kepada keperluan domestik. Jika ada lebihan, kita bantu negara sahabat."Jika tidak, kita fokus kepada rakyat kita dahulu," tegasnya.
Go to News Site