Sinar Harian
KOTA BHARU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih pendekatan turun padang ke daerah atau jajahan di seluruh negara sebagai peluang kepada kerajaan meneliti sendiri isu rakyat di peringkat akar umbi.Menurut beliau, langkah itu penting supaya kerajaan Persekutuan tidak hanya bergantung kepada laporan di peringkat atasan, sebaliknya mendengar terus pandangan masyarakat serta pegawai pelaksana di lapangan."Sebentar nanti saya ke jajahan Pasir Puteh. Selain pertemuan dengan kerajaan negeri sejak tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk turun langsung ke daerah atau jajahan di Kelantan ini."Apabila sampai ke jajahan, kita dapat menumpukan perhatian kepada projek-projek rakyat, kecil atau besar, yang menyentuh kepentingan rakyat secara langsung," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.Hadir sama ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.Anwar memberitahu, pengalaman lawatannya ke beberapa lokasi termasuk Kuantan, Kinta, Pengerang, Kulim dan Kuala Terengganu menunjukkan pendekatan turun padang memberi kesan berbeza berbanding mesyuarat biasa.Jelas beliau, kaedah itu membolehkan kerajaan memahami secara lebih dekat isu sebenar yang dibangkitkan di peringkat daerah."Lebih menjurus ke peringkat akar umbi, lebih mengetahui permasalahan yang dibangkitkan bukan sahaja oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, tetapi Pegawai Jajahan, pegawai-pegawai peringkat jajahan, penghulu dan sebagainya."Maknanya kerajaan itu tidak hanya melihat dari atas, tetapi mendengar dari akar umbi," katanya.Ujar beliau, pendekatan berkenaan selari dengan usaha kerajaan memastikan setiap projek pembangunan dan keperluan rakyat dapat diselesaikan secara lebih cepat serta berkesan.
Go to News Site