Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah melengkapkan proses penstrukturan semula organisasi secara menyeluruh selaras dengan agenda Madani dalam membangunkan tenaga kerja berdaya tahan di masa depan.Inisiatif itu melibatkan penyusunan semula tadbir urus, pengurusan dan operasi, memperkukuh integriti institusi serta mewujudkan struktur operasi yang lebih jelas dan berakauntabiliti.HRD Corp dalam kenyataan memaklumkan isu-isu legasi daripada dapatan audit dan penemuan kawal selia sebelum ini telah sebahagiannya telah diselesaikan dengan penyerahan dibuat kepada pihak berkuasa."Penstrukturan organisasi telah disempurnakan sepenuhnya, termasuk penempatan semula dan penyelarasan berdasarkan kompetensi dan fungsi pekerja."Bidang kritikal seperti perundangan, audit dan penguatkuasaan telah diperhebat bagi memantapkan lagi tadbir urus dan pematuhan, manakala struktur operasi telah diperkemas untuk meningkatkan kecekapan pelaksanaan," katanya.Institusi itu juga telah memperketat kawalan terhadap tuntutan latihan dan penggunaan levi bagi memulihkan pemantauan dan akauntabiliti sebagai sebahagian daripada reset tersebut."Di bawah prosedur operasi standard yang baharu, latihan hanya boleh dilaksanakan selepas kelulusan awal diperoleh, dengan tempoh masa dan jangka pelaksanaan yang ditetapkan."Ini membolehkan HRD Corp menggerakkan pasukan penguatkuasaan di lapangan bagi memastikan keterlihatan yang penuh serta melakukan pengesahan aktiviti latihan," tambah kenyataan itu.HRD Corp juga telah mengisi kekosongan kepimpinan utama dengan pelantikan Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Pegawai Operasi, jawatan yang sebelum ini kosong, di samping mengetengahkan bakat dalaman ke jawatan kanan dan pengurusan bagi memperhebat kesinambungan dan prestasi organisasi.Dalam perkembangan sama, institusi itu telah melengkapkan perancangan bajet yang telah diluluskan Lembaga Pengarah termasuk peruntukan strategik bagi mempercepatkan keutamaan pembangunan tenaga kerja negara dengan perincian akan diumumkan dalam masa terdekat.Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz berkata, organisasinya kini berada dalam jajaran yang jelas bagi menyokong hala tuju yang ditetapkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan dalam memperkasakan pembangunan modal insan negara."Hala tuju ini mencerminkan penekanan berterusan Ramanan terhadap pengukuhan tadbir urus, penambahbaikan penyampaian serta memastikan sistem latihan negara kekal berwibawa, relevan dengan industri dan berimpak tinggi di bawah kerangka Madani."Reset telah selesai, kita kini bergerak ke hadapan dengan disiplin, hala tuju yang jelas dan pelaksanaan," katanya.Shamir menegaskan bahawa HRD Corp tidak lagi akan ditakrifkan sebagai cabaran masa lalu, sebaliknya oleh keupayaannya menunjukkan hasil di bawah tekanan."Kini, keutamaan kita adalah pelaksanaan untuk memberikan hasil, memulihkan keyakinan serta memastikan pekerja dan perniagaan negara bersedia untuk menghadapi dan bertindak balas terhadap ketidaktentuan global yang semakin meningkat," tambah beliau.
Go to News Site