Sinar Harian
SHAH ALAM - Majoriti pengguna media sosial tidak bersetuju dengan cadangan menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) melalui pengisytiharan darurat berdasarkan hasil undian atau poll yang dijalankan Sinar Harian.Undian yang dijalankan selama 24 jam bermula Jumaat hingga jam 1 tengah hari Sabtu di lima platform media sosial iaitu Facebook, Instagram, YouTube dan Threads dan X (Twitter) menunjukkan kira-kira 75.4 peratus pengguna berpandangan tidak perlu dilakukan pengisytiharan darurat untuk menangguhkan PRN.Di Facebook, sebanyak 86 peratus responden berpendirian darurat tidak perlu diisytiharkan untuk membuka ruang kepada penangguhan PRN sementara tujuh peratus berpendapat langkah mengisytiharkan darurat itu wajar sementara tujuh peratus lagi merasakan cadangan terbabit memerlukan kajian terperinci.Undian di Instagram menunjukan 84 peratus pengguna tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, diikuti 10 peratus berpandangan ia memerlukan kajian terperinci dan enam peratus menyokong langkah pengisytiharan darurat.Di YouTube pula, keputusan undian menunjukkan 75 peratus pengguna tidak bersetuju dengan cadangan penangguhan PRN melalui darurat, diikuti 17 peratus menyokong langkah tersebut memilih perlu kajian terperinci dan lapan peratus memilih perlu kajian terperinci.Situasi sama turut direkodkan di Threads apabila majoriti pengguna iaitu 72 peratus menyatakan cadangan tersebut tidak perlu dilaksanakan, manakala 15 peratus berpendapat ia memerlukan kajian terperinci dan 13 peratus lagi menyokong langkah tersebut.Sementara itu, di platform X, sebanyak 60 peratus responden turut memilih ‘tidak perlu’, manakala 20 peratus berpendapat ia perlu kajian terperinci dan 20 peratus lagi menyatakan cadangan tersebut wajar dilaksanakan.Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong sebelum ini dilapor mencadangkan agar Kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat serta menangguhkan PRN tersebut.Pemimpin DAP itu juga beralasan penangguhan tersebut kononnya mengambil kira keadaan rakyat yang kini sedang berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang meningkat susulan kenaikan harga diesel.Cadangan tersebut bagaimanapun dibidas ramai pemimpin politik termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.Muhamad Akmal mempersoalkan cadangan tersebut dengan menyatakan bahawa negara pernah berdepan krisis ekonomi sebelum ini tanpa perlu mengisytiharkan darurat sementara Muhammad Sanusi pula menyifatkan cadangan penangguhan itu menjadi bukti pemimpin DAP takut ditolak rakyat.
Go to News Site