Sinar Harian
KUANTAN - Penganjuran Malaysia East Coast and Entrepreneur Expo 2026 langkah strategik kerajaan Pahang memperkasa komuniti usahawan di Pantai Timur.Rata-rata usahawan yang ditemui menyambut baik penganjuran ekspo itu kerana bagi mereka, ia bukan sahaja medan pameran produk, malah menjadi ruang interaksi serta perkongsian pelbagai ilmu baharu secara langsung antara usahawan dan agensi berkaitan.Pengarah Urusan Chemerkau Resort, Munirah Mustafa berkata, ekspo berkenaan satu ruang dan peluang untuknya memperkenalkan bisnes penginapan diusahakan di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub.Menurutnya, platform seperti itu amat penting untuk membawa jenama Chemerkau Resort meneroka pasaran lebih luas."Acara begini memang sangat membantu, selain untuk jualan produk, di sini juga kita dapat tonjol bisnes kepada pelbagai pelanggan berpotensi termasuk dalam kalangan usahawan."Bagi saya, ekspo ini amat baik dan berimpak tinggi," kata penerima Anugerah Usahawa Felda Desa pada Majlis Anugerah Usahawan sempena Malaysia East Coast and Entrepreneur Expo 2026 itu.Pandangan sama dilontarkan usahawan kraf dan makanan, Seri Kandi Jarkasi, 50.Katanya, susunan reruai yang kemas dan ekslusif menjadikan produk kraf yang dipamerkan mendapat perhatian pengikut setiap kali membuat promosi secara video 'live' di platform media sosial."Pada masa sama, sambutan dalam kalangan pengunjung juga sangat baik apabila produk yang dipamerkan untuk jualan di reruai hampir kehabisan," kata usahawan pemilik jenama Astana Crafts & Cookies yang mengangkat produk kraf dari Jengka 10 untuk pasaran Lembah Kelang.Usahawan di bawah bimbingan Felda itu berharap, ekspo itu diteruskan pada masa akan datang sebagai platform mengetengahkan produk-produk usahawa dari Pantai Timur termasuk Pahang.Bagi pengusaha kerepek rumpai laut, Muhammad Zulkhairi dan isteri, Norhatini Zakaria, ekspo perdagangan dan usahawan pantai timur itu sebagai pusat sehenti untuk usahawan memperkenalkan produk dan mendapatkan pelbagai ilmu baharu dalam dunia perniagaan.Muhammad Zulkhairi berkata, acara seperti itu juga satu peluang kepada usahawan sepertinya untuk mengenali pelanggan sebenar."Ramai pelanggan singgah di gerai bertemu kami dan mereka memberi maklum balas langsung terhadap produk kami di pasaran."Bagi saya program ini ibarat serampang dua mata, selain bantu ketengahkan produk di bawah Atthahiri Trading ini, saya juga mendapat pendedahan ilmu perniagaan melalui bengkel dan forum yang diadakan sepanjang ekspo ini berlangsung," ujarnya.Pengusaha batik dari Kuantan, Rizal Abdullah yang juga peserta salah satu bengkel sempena ekspo itu berkata, ilmu yang dikongsi membuka mata usahawan sepertinya terhadap potensi perniagaan secara dalam talian yang terbuka luas.Katanya, usahawan kini perlu lebih terbuka untuk idea dan kaedah pemasaran dalam talian yang terbuka dan global."Sudah pasti ekspo seperti ini peluang terbaik kepada para usahawan yang berhasrat bergerak ke arah itu."Pada masa sama, di sini saya juga dapat menbina rangkaian baharu antara peserta yang terdiri dari pelbagai bidang keusahawanan," katanya.Malaysia East Coast and Entrepreneur Expo 2026 anjuran Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berlangsung pada 17 dan 18 April ini di Hotel Grand Darul Makmur di sini.Sempena ekspo itu, turut berlangsung Pahang International East Coast Entrepreneurs Summit (PIECES) 2026.Sebanyak 24 reruai pameran pelbagai produk dan perkhidmatan disediakan untuk pengunjung selain bengkel untuk peserta.
Go to News Site