Collector
Selat Melaka mesti kekal bebas pengaruh, tekanan kuasa luar - PN | Collector
Selat Melaka mesti kekal bebas pengaruh, tekanan kuasa luar - PN
Sinar Harian

Selat Melaka mesti kekal bebas pengaruh, tekanan kuasa luar - PN

SHAH ALAM - Kedaulatan Selat Melaka sebagai laluan perdagangan maritim paling penting di dunia perlu dipertahankan daripada sebarang pengaruh asing atau tekanan strategik kuasa luar.Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Asia Tenggara kini berdepan risiko menjadi medan persaingan kuasa besar, khususnya melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan China.Menurutnya, peningkatan kehadiran ketenteraan di perairan serantau, persaingan ke atas laluan perdagangan strategik, penyusunan semula rantaian bekalan dan tekanan ekonomi yang semakin ketara akan membawa implikasi besar kepada Malaysia."PN suka menekankan kepentingan memastikan Asia Tenggara, khususnya Selat Melaka, kekal bebas daripada pengaruh asing, peningkatan kehadiran tentera atau tekanan strategik oleh mana-mana kuasa luar."Sebagai antara laluan perdagangan maritim paling penting di dunia, sebarang peningkatan kehadiran strategik kuasa asing atau meluasnya usaha untuk mempengaruhi keadaan di Selat Melaka berisiko meningkatkan ketegangan geopolitik dan menggugat kestabilan serantau," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Media melaporkan, sekatan oleh Iran dan AS ke atas Selat Hormuz mencetuskan kebimbangan mengenai keadaan di Selat Melaka, laluan paling penting di Asia.Laluan itu menghubungkan Lautan Hindi dan Pasifik melalui titik paling sempit selebar 2.7 kilometer (km) iaitu 10 kali lebih sempit berbanding Selat Hormuz.Selat Melaka mengendalikan kira-kira 40 peratus perdagangan global dan sebahagian besar aliran minyak dari Asia Barat. Hal ini melibatkan kepentingan strategik kuasa ekonomi Asia seperti China, Jepun dan Korea Selatan yang bergantung sepenuhnya kepada kestabilan laluan tersebut.Mengulas lanjut, Takiyuddin menjelaskan, situasi tegang di Laut China Selatan dan perbalahan ekonomi antara AS dan China menjadi sebab utama Malaysia perlu mengekalkan dasar luar yang bebas dan seimbang, supaya negara tidak terjebak dalam kancah pilih pihak antara kuasa besar.Beliau menegaskan, pendirian teguh negara dalam mengekalkan keamanan serantau bukanlah perkara baharu."Malaysia telah lama mendukung prinsip Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) yang juga kekal relevan pada ketika persaingan geopolitik semakin meningkat di Asia."Justeru, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif bagi melindungi kepentingan nasional, kebebasan strategik negara dan kestabilan serantau," ujarnya.Selain fokus terhadap Selat Melaka, PN turut meminta kerajaan agar memperkukuh kerjasama ASEAN bagi memastikan setiap pertikaian diselesaikan melalui komunikasi secara aman.

Go to News Site