Collector
Tekong dan dua remaja perempuan 'riki jalan' ditahan seludup PATI | Collector
Tekong dan dua remaja perempuan 'riki jalan' ditahan seludup PATI
Sinar Harian

Tekong dan dua remaja perempuan 'riki jalan' ditahan seludup PATI

TUMPAT - Tiga individu termasuk dua remaja perempuan ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di Bandar Baru Pasir Pekan di sini pada Sabtu.Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan pertama pada jam 5 pagi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki yang bertindak sebagai tekong darat bersama sembilan PATI warganegara Bangladesh dan Myanmar."Daripada jumlah itu, enam yang ditahan merupakan PATI Bangladesh dan selebihnya Myanmar. Pemeriksaan mendapati enam warganegara Bangladesh mempunyai pasport tetapi tidak mempunyai pas lawatan untuk memasuki Malaysia," katanya pada Ahad.Menurut beliau, semakan mendapati tiga lagi warganegara Myanmar tidak mempunyai sebarang dokumen untuk memasuki Malaysia.Katanya, kesemua PATI ini disyaki masuk ke Malaysia menggunakan laluan tidak sah melalui Thailand.Ahmad Radzi memberitahu, saringan air kencing yang dilakukan ke atas lelaki tempatan itu mendapati dia positif dadah.Ujar beliau, kejayaan ini hasil bertindak atas maklumat risikan berkaitan penyeludupan PATI selepas anggota bertugas telah mengesan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu dalam keadaan mencurigakan."Selang lima minit kemudian daripada serbuan pertama, kita telah menahan dua perempuan yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR."Kedua-dua perempuan berusia 17 dan 18 tahun telah ke lokasi tersebut semasa serbuan dilakukan. Pemeriksaan ke atas telefon bimbit salah seorang perempuan berkenaan mendapati terdapat komunikasi di antara dia dengan lelaki yang bertindak sebagai tekong darat," katanya.Menurut Ahmad Radzi, hasil soal siasat lelaki tempatan itu mengaku mengambil PATI tersebut di Kampung Laut dan menghantarnya ke Wakaf Bharu sebelum dibawa oleh individu lain yang tidak dikenalinya.Ujar beliau, suspek memberitahu, segala urusan tersebut diatur oleh individu bernama "Jef" yang tinggal di Thailand dan menerima upah sebanyak RM100 untuk setiap seorang PATI yang dibawa.Katanya, salah seorang perempuan yang ditahan memaklumkan dia berperanan sebagai 'riki jalan' bagi membantu urusan penghantaran PATI dengan menerima bayaran sebanyak RM 150 daripada tekong darat tersebut.Beliau memberitahu, bagaimanapun seorang lagi perempuan yang ditahan memberitahu dia hanya menemani rakannya semasa melakukan aktiviti 'riki' bagi urusan penghantaran PATI.

Go to News Site