Sinar Harian
SHAH ALAM - Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan diarahkan untuk mengadakan mesyuarat tergempar bersama agensi berkaitan pada Isnin susulan kerosakan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, mesyuarat tersebut akan menjalankan semakan menyeluruh terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang mengawal pengurusan kerosakan di lapangan terbang.Menurut beliau, tumpuan khusus diberikan kepada masa tindak balas, komunikasi kepada penumpang dan protokol kontigensi."Walaupun saya mengambil maklum bahawa sistem BHS telah dipulihkan pada petang yang sama, pemulihan teknikal tidak menutup perkara ini."Penumpang yang melalui pintu masuk utama negara kita berhak mendapat standard kebolehpercayaan perkhidmatan yang insiden ini jelas gagal penuhi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Anthony menegaskan bahawa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang bertindak sebagai pengendali KLIA akan dipertanggungjawabkan atas kerosakan tersebut.Katanya, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pula sebagai pengawal selia penerbangan tunggal telah diarahkan untuk melancarkan siasatan terhadap perkara itu.Tambah beliau, CAAM di minta untuk meneliti sama ada tindakan punitif wajar diambil terhadap MAHB atas kegagalan dalam penyampaian perkhidmatan berkenaan."Di samping langkah pemulihan segera, insiden ini menunjukkan sesuatu yang perlu ditangani pada peringkat yang lebih mendalam."Kita tidak boleh merealisasikan aspirasi untuk menjadi antara lapangan terbang terbaik dunia tanpa terlebih dahulu memupuk budaya akauntabiliti dan tanggungjawab yang sebenar di seluruh organisasi, ujarnya.Anthony berkata, standard yang ditetapkan mesti dapat dilihat menerusi tindak balas yang diambil."Jika kita serius mengenai cita-cita untuk menjadi lapangan terbang bertaraf dunia, kita juga mesti sama serius dalam memupuk budaya tanggungjawab yang seiring dengan aspirasi tersebut," katanya.Terdahulu, penumpang-penumpang di KLIA Terminal 1 terpaksa menunggu antara dua hingga empat jam bagi mendapatkan bagasi menerusi hantaran di aplikasi Thread pada Sabtu.Pengurusan KLIA di ruangan komen memaklumkan gangguan itu berpunca daripada masalah bekalan elektrik di sebuah stesen janakuasa luar yang menyebabkan sistem pengendalian bagasi terjejas buat sementara waktu, sekali gus mengakibatkan kelewatan di kawasan tuntutan bagasi.Bagi mengurangkan kesesakan, pihak KLIA membenarkan penumpang meninggalkan lapangan terbang dan kembali semula kemudian untuk mengambil bagasi masing-masing, selain maklumat terkini turut diberikan dari semasa ke semasa
Go to News Site