Sinar Harian
BUKIT MERTAJAM - Semua ahli parti diminta hadir dan terlibat dalam Konvensyen Kebangsaan DAP akan datang bagi bersama-sama menentukan hala tuju perjuangan parti.Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, platform tersebut penting untuk membolehkan ahli berbincang, berfikir secara mendalam serta membuat keputusan secara kolektif.Tambahnya, konvensyen kebangsaan yang dijangka diadakan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi akan menjadi platform penting."Konvensyen tersebut adalah platform terbaik untuk membahas, menilai serta memutuskan hala tuju parti bagi tempoh 18 bulan akan datang."Ia juga membolehkan ahli berbincang, berfikir secara mendalam dan membuat keputusan secara kolektif sebelum bergerak sebagai satu pasukan yang bersatu dan kukuh," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 DAP di sini pada Ahad.Anthony berkata, kekuatan parti bergantung kepada kesatuan semua anggota tanpa mengira jawatan, daripada pimpinan tertinggi hingga ke peringkat akar umbi."Perjuangan parti adalah perjuangan bersama. Hanya dengan semangat kebersamaan ini, parti mampu terus bergerak ke hadapan," katanya.Tambahnya, sepanjang enam dekad penubuhan, parti berkenaan kekal berpegang kepada prinsip perjuangan walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk tempoh panjang sebagai pembangkang."Walaupun tanpa kuasa dan sumber sebelum ini, kita tidak pernah berputus asa."Semangat inilah yang menjadikan parti terus kukuh hingga hari ini," ujarnya.Dalam pada itu, beliau menegaskan perjuangan parti bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya demi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih adil, progresif dan inklusif untuk semua rakyat.Menurutnya, Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri yang ditadbir DAP perlu terus menjadi contoh kepada negara dalam aspek kepelbagaian, keadilan dan pembangunan."Pulau Pinang adalah tempat terbaik untuk kita buktikan apa yang kita perjuangkan."Kita mahu tunjuk bahawa dasar kita memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang," katanya.Beliau menambah, dua projek utama akan menjadi fokus dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu pelaksanaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara serta pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.Menurutnya, kedua-dua projek berkenaan penting bagi merancakkan pembangunan dan memastikan negeri ini terus maju."Bagaimanapun, syarat paling penting ialah kita mesti memastikan parti terus mentadbir Pulau Pinang dan mendapat mandat rakyat," katanya.Dalam pada itu, Anthony menekankan kepentingan kesinambungan kepimpinan dengan memberi lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk tampil dan memainkan peranan dalam parti."Tanpa generasi pelapis, parti tidak akan mempunyai masa depan."Kita perlu membimbing dan memberi ruang kepada anak muda untuk meneruskan perjuangan," jelasnya.Mengulas lanjut, beliau berkata, sambutan ulang tahun ke-60 bukan pengakhiran sebaliknya permulaan kepada perjalanan lebih panjang untuk memastikan parti terus relevan dan kuat."Kita mahu membawa semangat ini ke seluruh negara dan memastikan parti terus mara sehingga mencapai ulang tahun ke-100," katanya.
Go to News Site