Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Ratusan ‘mat rempit’ yang menjadikan Jalan Tun Razak di sini sebagai litar lumba, termasuk mempamerkan aksi berbahaya, ‘dikepung’ polis dalam operasi awal pagi Ahad.Suasana bertukar kecoh apabila sebahagian penunggang cuba meloloskan diri dengan menunggang motosikal secara melawan arus bagi mengelak ditahan.Dalam operasi itu, kira-kira 800 kenderaan, majoritinya motosikal, diperiksa termasuk individu yang berkumpul untuk menonton aktiviti berkenaan.Difahamkan, lokasi tersebut menjadi tumpuan belia dan remaja dari seluruh Lembah Klang untuk mempamerkan motosikal yang diubah suai dengan pelbagai modifikasi termasuk penggunaan ekzos bising.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, operasi bersepadu itu dijalankan menerusi Op Mabuk, Op Motosikal, Op Tutup dan Op Samseng Jalanan bermula jam 10 malam Sabtu."Sebanyak 750 motosikal dan 80 kereta diperiksa dengan 751 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala 98 motosikal turut disita."Daripada pemeriksaan yang dijalankan, dua individu ditahan kerana positif methamphetamine manakala dua lagi kerana memandu dalam keadaan mabuk. Ketika ini, sebahagian masih menjalani ujian pernafasan kedua," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.Beliau berkata, operasi tersebut dilaksanakan susulan banyak aduan awam berkaitan kegiatan samseng jalanan, khususnya di Jalan Tun Razak."Kawasan itu menjadi tumpuan untuk aktiviti lumba haram walaupun operasi penguatkuasaan kerap dijalankan, berikutan lokasinya berhampiran hospital dan kawasan kediaman."Kita akan meneruskan operasi setiap hari bagi membendung gejala ini yang jelas mengganggu ketenteraman awam," katanya.Mohd Zamzuri berkata, antara kesalahan dikesan termasuk pengubahsuaian motosikal serta tiada brek dan satu tangkapan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana nombor pendaftaran diubah suai."Lebih kurang dalam 800 buah motosikal yang kita periksa, kira-kira 350 saman setakat ni yang kita keluarkan. Trend yang sama, brek tak ada, ubah suai ekzos bila dia rem, satu Kuala Lumpur boleh dengar," katanya.Tambah beliau, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 59 saman, manakala Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan dua individu selepas didapati positif dadah.
Go to News Site